NARATHIWAT, THAILAND – Penyanyi wanita tersohor Kelantan yang ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Golok dekat sini pada 1 November lalu memaklumkan bahawa solat lima waktunya terjaga dan terpelihara sepanjang tempoh lebih 50 hari berada dalam tahanan di Penjara Wilayah Narathiwat di sini.
Wanita berusia 28 tahun itu berkata, meskipun ditempatkan dalam tahanan di Thailand, pihak penjara sangat menitikberatkan aspek disiplin dan hal-ehwal agama setiap tahanan.
Menurutnya, dia menunaikan solat di awal waktu setiap kali tibanya waktu solat bersama-sama tahanan lain yang beragama Islam.
“Solat saya terjaga dan terpelihara sepanjang berada di sini. Bukan hanya solat lima waktu, saya dan tahanan lain diajar untuk menunaikan solat hajat, dhuha dan tahajud.
“Memang sedih apabila berjauhan dengan keluarga apabila berada di balik tirai besi. Banyak masa saya habiskan dengan beribadat.
“Saya juga baik-baik sahaja di sini. Pihak penjara memberi semua tahanan makan sebanyak tiga kali sehari dan ia sudah cukup untuk kehidupan kami.
“Banyak program-program motivasi dianjurkan oleh pihak penjara kepada tahanan. Selebihnya, saya hanya beribadat kerana tiada perkara lain yanh boleh dibuat semasa tempoh tahanan,” katanya ketika menerima lawatan beberapa pemberita di Penjara Wilayah Narathiwat di sini semalam.
Penyanyi itu berkata, dia memohon semua peminat mendoakan kesejahteraannya semasa berada dalam tahanan di Penjara Wilayah Narathiwat di sini.
Menurutnya, semua rakyat Malaysia terutama di Kelantan untuk terus menyokong dalam apa juga keadaan yang perlu dihadapinya selepas ini.
“Saya juga berharap semua tidak mempercayai segala berita tidak benar yang mengatakan tahanan Malaysia di sini dilayan buruk oleh pihak penjara.
“Saya berada dalam keadaan baik sahaja. Dua lagi tahanan wanita yang merupakan rakan saya juga sihat dan menerima layanan sama seperti rakyat Thailand di sini,” ujarnya.
Menurutnya, kerinduan terhadap keluarga terubat apabila ahli keluarganya dari Kelantan akan datang semasa sesi lawatan pada setiap hari Khamis.
Katanya, pihak Penjara Wilayah Narathiwat memberi kebenaran selama 15 minit kepada ahli keluarga untuk bertemu dengan tahanan di sini pada hari tersebut.
“Selepas lima hari saya dibawa ke penjara, ahli keluarga sudah dibenarkan datang melawat. Saya diberi kebenaran bersemuka dengan keluarga di cermin kaca dan berbual melalui intercom.
“Itu sudah cukup buat saya untuk melepaskan rindu kepada mereka. Cuma, saya masih belum dapat bertemu dengan anak-anak,” ujarnya.
Turut baca :
Leave a Reply