Demi wang tengok aksi Harimau Malaya di Phnom Penh punca wanita dibunuh

Suspek berkait kes wanita yang mayatnya ditemukan mereput mengakui membunuh mangsa kerana memerlukan wang untuk ke Phnom Penh bagi menyaksikan perlawanan Malaysia-Kemboja dalam saingan Piala Asean.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mancha Ata, berkata suspek yang sedang direman mengaku mengambil barang kemas mangsa, gelang tangan, dan anting-anting emas untuk digadai.

“Ketika dalam soal siasat, suspek mengaku melakukan perbuatan itu (membunuh mangsa) dan mengambil barang kemas mangsa untuk digadai kerana dia memerlukan wang untuk perbelanjaan ketika menyaksikan kejohanan bola sepak Kemboja,” katanya kepada Berita Harian.

“Selepas polis berjaya menahannya dan melakukan siasatan, suspek membuat pengakuan memang dia yang membunuh mangsa dan berdasarkan bukti diperoleh, polis percaya kes itu hampir selesai.”

Pada Ahad, satu mayat mereput ditemukan di Tabuan Jaya, Kuching, susulan laporan kehilangan seorang wanita, Nurul Asikin Lan, 25, pada 5 Dis. Dilaporkan, mangsa keluar dengan seorang lelaki yang baru dikenali.

Mancha berkata, berikutan keadaan mayat yang sudah reput, keluarga wanita itu juga tidak dapat mengecamnya.

Justeru, polis masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijangka diperoleh 22 Dis untuk mengesahkan identiti mayat reput itu.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*