Sedih ibu baru meninggal, anak tak sangka pihak masjid desak bayar segera kos urus jenazah

PEMERGIAN insan tersayang pastinya memberi tamparan hebat buat sesiapa sahaja yang mengalaminya.

Selain perlu mengawal emosi dan kesedihan, bagi sesetengah waris, kos pengurusan jenazah turut menjadi cabaran bagi mereka yang tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan.

Menerusi satu hantaran di laman sosial, seorang individu berkongsi kisah sedih di media sosial mengenai pemergian ibunya pada Sabtu lalu.

“Al-fatihah buat arwah ibu saya. Proses kebumi, Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Walaupun sedikit serabut, tapi tak teruk sangat,” tulisnya.

Walaupun urusan pengebumian berjalan lancar, dia meluahkan rasa terkejut apabila mendapat tahu kos keseluruhan pengebumian mencecah RM1,000.

Bagaimanapun, dia berasa lega apabila pihak masjid sudi untuk membantu melunaskan pembayaran tersebut.

“Jumlah semua kos yang masjid bayarkan dahulu adalah sekitar RM1,000. Saya agak terkejut dengan jumlahnya,” katanya lagi.

Bagaimanapun selepas pengebumian selesai, individu ini mendakwa pihak masjid terus meminta bayaran balik walaupun dia telah memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai wang sebanyak itu.

“Saya bagitahu masjid yang saya akan bayar bila duit cukup, tapi mereka tetap mendesak saya untuk melangsaikan bayaran itu secepat mungkin.

“Petak (buntu) jugalah rasa, bukan gaji saya banyak sangat pun,” luahnya.

Bagi individu ini yang berpendapatan sederhana, situasi sebegini ternyata menambah tekanan buat dirinya selepas kehilangan ibu tersayang.

Hantaran tersebut mendapat simpati warganet yang berharap agar masyarakat dan pihak masjid lebih prihatin terhadap situasi kewangan waris atau ahli keluarga yang sedang bersedih.

Rata-ratanya turut memberikan cadangan kepada pengadu supaya membuat permohonan bantuan yang sepatutnya bagi menyelesaikan masalah dihadapi.

“Semak jika kamu ada daftar khairat. Kalau ada boleh buat tuntutan. Semua sekali memang mahal jika tiada daftar khairat kematian. Rasa RM1,000 tu dah ada yang diskaun.

“Memang akan ada sejumlah bayaran. Yang saya diberitahu waktu ayah meninggal empat tahun lepas. Ia termasuk bayaran menggali kubur dan pengurusan jenazah.

“Meninggal memang mahal juga sekarang. Untuk yang masih hidup ni sila daftar khairat kematian dekat surau atau masjid berhampiran rumah setiap tahun. Sangat membantu,” komen netizen.

Perkongsian ini membuka mata banyak pihak mengenai kos pengurusan jenazah yang mungkin tidak disedari, serta keperluan bersiap sedia dari segi kewangan demi menghadapi saat-saat tidak diduga seperti ini.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*