Pergolakan dalaman Bersatu memang dijangka, kata penganalisis

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Pergolakan dalaman dan cabaran luaran didepani Bersatu ketika ini memang dijangka berlaku, kata seorang penganalisis politik.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata parti itu dari awal berdepan kesukaran mendapat sokongan akar umbi, dan kurangnya hala tuju ideologi.

“Isu membelenggu sejak sekian lama tanpa ada usaha yang benar-benar untuk menanganinya,” katanya kepada FMT. Sebaliknya, parti masih bergantung kepada Presiden Muhyiddin Yassin.

Syaza berkata, walaupun pergantungan kepada satu pemimpin berkesan kepada PKR yang menjadikan reformasi tiang parti, Bersatu tidak dapat menggunakan strategi sedemikian.

“Bersatu hanya untuk orang Melayu, dan kita sudah mempunyai banyak parti seperti itu,” katanya.

Syaza mencadangkan, dilakukan “peremajaan” kepada Bersatu, namun mempersoalkan apa yang mampu parti tawar sedangkan imej “bersih” dilaungkan terjejas dengan kes mahkamah dikenakan ke atas Muhyiddin.

“Sehingga dan melainkan Bersatu dapat menjelaskan (apa yang lebih untuk ditawarkan), akan ada lebih banyak pembelotan,” katanya.

Pergolakan Bersatu dewasa ini semakin meningkat dengan pergelutan dalaman dan suara tidak puas hati daripada bahagiannya terhadap pimpinan parti.

Tambahan lagi, tindakan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan sebagai setiausaha agung Perikatan Nasional (PN), manakala Parti Progresif Sabah memutuskan keluar gabungan itu susulan keputusan PN untuk bertanding di semua Dewan Undangan Negeri.

Bersatu kekal memegang kedudukan utama dalam PN, meliputi pengerusi, setiausaha agung, dan ketua pembangkang.

Dalam pada itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata Bersatu masih penting untuk kejayaan berterusan PN.

Beliau berkata, walaupun PAS mengawal lebih banyak kerajaan negeri dan menguasai sebahagian besar kerusi Parlimen, gerakan dilakukan Bersatu menjadikan PN kekal relevan.

“Mereka (PAS) kurang strategi dan idea,” katanya sambil menambah kegagalan parti mengenal pasti calon perdana menteri.

“Meskipun berlaku pergolakan dalaman dalam Bersatu, saya melihat Bersatu mengemudi PN berbanding PAS, hanya kerana pemimpin Bersatu dari segi strategik lebih baik membentuk dasar atau strategi berbanding pemimpin PAS.”

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*