Polis menembak mati seorang lelaki yang memiliki 24 rekod pelbagai jenayah lampau termasuk dadah di Jeram Pasu, Pasir Puteh, Kelantan awal pagi tadi.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata dalam kejadian pada 5.30 pagi itu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan telah mengekori sebuah kereta Perodua Bezza yang dipandu lelaki tempatan itu dari Melor, Kota Bharu.
Beliau berkata susulan itu, pasukan JSJ telah membuat pintasan dan menahan kereta suspek di Jeram Pasu, lalu lelaki itu keluar dari keretanya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.
“Pasukan JSJ berbalas tembakan dengan suspek dan lelaki berkenaan mati ditembak di tempat kejadian di Jeram Pasu.
“Hasil semakan rekod mendapati lelaki berumur 31 tahun itu memiliki 17 rekod lampau pelbagai jenayah antaranya samun berkawan dan senjata api serta tujuh kes berkaitan dadah,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di Jeram Pasu, di Psir Puteh, hari ini.
Mohd Yusoff berkata lelaki yang ditembak itu merupakan suspek yang sangat dikehendaki polis dan telah lama diburu.
Berikutan itu, pasukan JSJ membuat pemeriksaan ke dalam kereta suspek dan menemukan sepucuk pistol semi auto, sepucuk pistol tiruan serta sebilah parang.
“Selain itu, polis juga menjumpai sebungkus tembakau roket yang dipercayai digunakan untuk menyeludup masuk ke dalam penjara dalam bentuk ketulan.
Kami percaya suspek yang ditembak mati ini berkemungkinan membuat penyeludupan bahan itu (tembakau roket) untuk masuk ke pusat-pusat tahanan,” katanya dan menambah hasil siasatan mendapati suspek bekerja sebagai penunda kereta.
Beliau berkata suspek yang berasal dari Pasir Puteh telah dibawa ke hospital daerah berkenaan untuk dibedah siasat.
“Polis juga sedang menyiasat sekiranya suspek bertindak melakukan jenayah seorang diri atau ada saki-baki ahli lain yang terlibat dalam jenayah ini,” katanya.
Baca juga :
Leave a Reply