Hospital Bersalin Razif dedah kisah sebenar bayi ‘dibekukan’. Hospital Bersalin Razif (HBR) menyangkal dakwaan yang tular di media sosial yang mendakwa hospital itu membekukan mayat seorang bayi di dalam peti sejuk selama dua minggu kerana ibu bapanya gagal menjelaskan bil hospital.
Dalam kenyataannya, HBR menjelaskan ibu bayi berkenaan tiba di hospital untuk bersalin dengan mendakwa ia adalah kehamilannya yang pertamanya dan tidak pernah menjalani sebarang pemeriksaan antenatal.
Pihak hospital menjelaskan pesakit itu dibawa oleh ‘suaminya’, sebelum kemudian wanita itu mengaku mereka tidak pernah berkahwin.
Bagaimanapun HBR berkata pihaknya masih menerima pesakit itu atas dasar kemanusiaan meskipun kandungannya tidak berdaftar dan tiada sebarang saringan dibuat.
Wanita itu melahirkan bayinya sejurus tiba di hospital itu.
Malangnya, bayi itu mengalami sindrom Siclop di mana dia hanya mempunyai satu mata serta tidak memiliki hidung dan saluran najis. Bayi itu meninggal dunia beberapa minit selepas dilahirkan walaupun mendapat bantuan perubatan.
HBR berkata permit pengebumian bayi berkenaan juga telah ditandatangan dan ‘suami’ wanita itu diminta untuk menguruskan pengebumian pada hari berikutnya.
Bagaimanapun, menurut pihak hospital, bapa bayi berkenaan meninggalkan hospital tersebut dengan alasan perlu pergi tempat lain.
Pada keesokannya, ibu bayi itu memaklumkan pihak hospital bahawa dia tidak dapat melangsaikan bil keseluruhan berjumlah RM2,480 dan mengatakan “suaminya” akan menguruskan pengebumian bayi berkenaan.
“Pada hari berikutnya, dia memaklumkan bahawa dia tidak dapat melangsaikan bil keseluruhan sebanyak RM2,480.
“Dia kemudian diberitahu bahawa dia boleh menguruskan pengebumian dahulu sebelum membayar bil.
“Dia kemudian berkata ‘suami’ akan uruskan pengebumian tersebut. Maka HBR menunggu dia untuk membawa bayi tersebut untuk dikebumikan,” katanya.
Hari demi hari berlalu, pelbagai usaha dilakukan pihak hospital untuk menyelesaikan perkara itu, termasuk menghubungi pihak keluarga tetapi ia tidak berhasil apabila wanita itu enggan memberikan butiran mereka.
“‘Suami’ datang melawatnya selama beberapa minit sekali setiap dua hingga tiga hari. Percubaan untuk bercakap dengan “suaminya” mengenai pengebumian tidak berjaya,” jelasnya.
HBR menegaskan ibu bayi itu dilayan dengan baik sepanjang berada di hospital termasuk menerima kaunseling dan makanan percuma sementara perbincangan mengenai pengurusan pengebumian diteruskan.
“Pihak pengurusan HBR berbincang dengan pesakit untuk mendapatkan polis membantu menguruskan pengebumian, tetapi dia merayu supaya tidak melibatkan pihak polis. Dia terus berkata bahawa semua keputusan perlu dibuat oleh ‘suaminya’.”
“HBR cuba mendapatkan maklumat ahli keluarganya, tetapi dia enggan memberikannya kepada sesiapa. Dia mendakwa tinggal di bilik sewa bersama ‘suaminya’ dan tidak mempunyai saudara-mara atau rakan-rakan berhampiran,” jelasnya.
Pihak hospital menegaskan mereka komited terhadap ketelusan dan pematuhan dalam semua urusannya .
Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Anfaal Saari, turut mengecam tindakan berkenaan dan berjanji akan menghubungi pihak berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Kes berkenaan mencetuskan kemarahan orang ramai, dengan desakan agar perubahan sistematik dilakukan bagi memastikan insiden sebegini tidak berulang.
Menurut laporan Sinar Harian, jenazah bayi itu telah dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di Selangor pada Isnin lalu.
Insiden itu tular di media sosial pada Selasa lalu selepas pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai, berkongsi cerita itu di Facebook.
Wan Chai berkata pihaknya turut menghadapi cabaran untuk menguruskan dan perlu menyahbeku jasad si kecil itu terlebih dahulu menggunakan air suam sebelum dimandi dan dikafankan.
“Terpaksa menggunakan air panas yang dicampur dengan air paip bagi melembutkan tubuh dan sendi-sendi wildan syurga tersebut,” ujarnya lagi.
Sinar Harian turut melaporkan Wan Cai mendakwa ibu bayi itu ditahan dan tidak dibenarkan keluar wad sehingga bil hospital dijelaskan sepenuhnya.
Baca juga :
- {VIDEO} Asbab si ayah tak mampu bayar bil hospital swasta, mayat bayi lelaki ditahan dalam peti sejuk
- {VIDEO} ‘Dari mana motosikal datang, tiba-tiba sudah terbaring… Pengguna keliru, berulang kali tonton video cari jawapan
- Memalukan, Jalur Gemilang dipasang terbalik pada baju Lee Zii Jia – “Tak buat pemeriksaan kualiti ke?
Leave a Reply