PETALING JAYA – Satu mayat bayi lelaki didakwa ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk menuntut jenazah tersebut.
Kisah pilu itu dimuat naik pada Facebook pengurusan jenazah Islam Mr Wan Chai Official yang mengambil tanggungjawab untuk menguruskan jenazah bayi berkenaan.
“Kami menghadapi masalah sewaktu hendak menguruskan jenazah wildan syurga adik Muhammad Adham Mikail. Hancur luluh bila melihat jenazah anak tanpa dosa ini 100 peratus beku.
“Bayangkan bayi yang sudah meninggal dunia pada 24 November ditahan selama dua minggu dan diletakkan dalam peti sejuk.
“Perkara ini berlaku asbab si ayah tidak mampu membayar bil bagi caj kelahiran anaknya di sebuah hospital swasta,” katanya pada hantaran tersebut.
Katanya, berdasarkan cerita si bapa, ibu bayi tersebut iaitu isterinya mengadu sakit sebelum dihantar oleh jirannya ke hospital swasta berkenaan.
“Ketika kejadian dia sedang bekerja dan bergegas ke hospital selepas dimaklumkan tentang keadaan isterinya,” katanya.
Wan Chai memaklumkan, pihaknya terpaksa menggunakan air panas yang dicampur dengan air paip bagi melembutkan tubuh dan sendi mayat bayi tersebut.
Pada hantaran yang lain, lelaki itu memaklumkan, bukan sahaja jasad Muhammad Adham Mikail ‘ditahan’ selama 16 hari, tetapi ibunya juga tidak dibenarkan keluar dari wad sehingga bil dibayar si bapa pada pukul 11 pagi semalam.
“Ibu orang Melaka, ayah Negeri Sembilan, kejam. Ayahnya baru dapat kerja kilang Shah Alam dan masa bayi tu lahir, dia baru lima hari bekerja.
“Dalam diuji kehilangan anak, dia tetap berusaha cari duit untuk bayar bil walaupun lewat,” katanya yang turut memberitahu bil tersebut berjumlah RM3,600 pada ruangan komen.
Dalam pada itu, Wan Chai berkata, bayi itu meninggal dunia selepas 30 minit dilahirkan kerana tidak cukup sifat iaitu hanya mempunyai satu mata, tiada hidung serta tiada saluran lubang najis.
Baca juga :
Leave a Reply