Kes bunuh pelajar vokasional: Mangsa dipaksa mengaku curi selepas dipukul, kata saksi

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, yang ditemukan mati pada Mac lepas, dipaksa mengaku mencuri selepas dipukul.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu Suddin Tjinke, yang tampil sebagai saksi pendakwaan ke-25 dalam perbicaraan kes bunuh pelajar tersebut.

Semasa disoal balas oleh peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Suddin tidak bersetuju dengan cadangan bahawa mangsa melakukan perbuatan mencuri.

Kamarudin: Adakah kamu setuju berlaku pertengkaran dalam kalangan beberapa pelajar semasa menyoal si mati mengenai perbuatan mencuri?

Saksi: Tidak setuju.

Kamarudin: Adakah kamu setuju bahawa wang yang dicuri oleh si mati telah dijumpai Inspektor Muhammad Sobbri Samian?

Saksi: Saya setuju wang dijumpai tetapi tidak setuju wang itu dicuri.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, Suddin berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan Kamarudin kerana tiada bukti yang ditemukan pihaknya bagi mengesahkan bahawa mangsa telah melakukan perbuatan itu.

“Dalam siasatan yang telah saya jalankan, (didapati) si mati mengaku kerana terdesak akibat dipukul dan dipaksa mengaku perbuatan mencuri,” katanya pada perbicaraan di hadapan Hakim Duncan Sikodol.

Seramai 13 pelajar kolej itu berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac lepas hingga 7.38 pagi 22 Mac lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Suddin juga berkata pihaknya telah melakukan simulasi insiden pada malam 26 Mac di bilik asrama 5 Belian bagi menguji tahap penglihatan di lokasi kejadian.

Beliau berkata simulasi itu mendapati tahap penglihatan adalah jelas dan pengecaman wajah boleh dibuat kerana terdapat cahaya lampu di bahagian koridor asrama 5 Belian di lokasi berkenaan selain dibantu cahaya lampu bangunan bersebelahan.

Nur Nisla, yang mengetuai pendakwaan, kemudian memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya menutup kes mereka hari ini selepas memanggil 25 saksi.

Beliau turut menawarkan 19 saksi kepada pembelaan iaitu warden asrama, pakar kimia, dua doktor serta 15 anggota polis termasuk dua jurugambar.

Duncan kemudian memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 30 Dis ini dan balasan pada 6 Jan depan sebelum menetapkan tarikh sebutan pada 13 Jan bagi memastikan kesemuanya telah difailkan secara dalam talian.

Nur Nisla dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin, dan Chen Wen Jye manakala lima lagi diwakili peguam Mohamad Zairi, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang serta Kusni Ambotuwo.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*