Murid darjah empat ditampar, ditumbuk cikgu hingga lebam di muka

JOHOR BAHRU – Seorang murid darjah empat mengalami lebam pada bahagian muka dipercayai ditampar dan ditumbuk oleh seorang guru lelaki dalam kejadian sebuah sekolah rendah di sini semalam.

Pihak pengurusan pusat jagaan kanak-kanak berkata, murid yang berusia 10 tahun dikenakan hukuman itu selepas berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan murid yang lain di sebuah makmal komputer sekolah berkenaan.

“Saya terima laporan bahawa mangsa mendakwa disepak sebelum terjatuh dan menangis. Cikgu lelaki terbabit didakwa menampar dan tumbuk muka budak itu.

“Kemudian rambut mangsa ditarik dan diheret sampai ke pejabat sekolah berkenaan,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Pihak pengurusan rumah amal itu turut menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan ganas guru terbabit sebelum tampil membuat laporan polis di Balai Polis Larkin di sini, semalam.

“Ini bukan nak mendidik tetapi mencederakan budak. Walau nakal macam mana sekali pun, ikutlah SOP (prosedur operasi standard).

“Nak rotan dipersilakan, tapi ikut SOP KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) bukan belasah budak ikut nafsu sampai ‘blue black’ (lebam) muka budak,”katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, kes telah disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan siasatan telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan untuk menyiasat (OTI).

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*