LONDON – Paris dinobatkan sebagai bandar terbaik dunia dalam satu kajian tahunan untuk tahun keempat berturut-turut, lapor portal berita MailOnline semalam.
Kedudukan itu adalah berdasarkan Indeks 100 Destinasi Bandar Terbaik dikeluarkan Euromonitor International(EI). EI menilai bandar-bandar di seluruh dunia dari sudut enam faktor utama.
Antara ciri yang dinilai termasuk prestasi ekonomi dan perniagaan, prestasi pelancongan, infrastruktur pelancongan, dasar pelancongan dan daya tarikan, kesihatan dan keselamatan serta kemampanan.
Menurut firma penyelidikan tersebut, Paris unggul disebabkan tawaran pelancongannya yang diperkukuhkan oleh pelbagai acara sukan sepanjang tahun termasuk Sukan Olimpik Musim Panas.
Laporan 2024 itu meletakkan ibu kota Sepanyol, Madrid di tempat kedua, Tokyo ketiga dan dua bandar Itali iaitu Rom di tempat keempat diikuti Milan pada kedudukan kelima.
Selebihnya, untuk 10 destinasi teratas terdiri daripada New York (keenam), Amsterdam (ketujuh), Sydney (kelapan), Singapura (kesembilan) dan Barcelona (ke-10).
Sementara itu, dua bandar Malaysia, Kuala Lumpur dan Johor Bahru masing-masing berada di tempat ke-31 dan 82.
Laporan itu juga mendedahkan bahawa ketibaan antarabangsa global meningkat sebanyak 19 peratus pada 2024, didorong oleh permintaan pelancongan yang kukuh.
Ketua Kesetiaan Global EI, Nadejda Popova berkata, populariti destinasi yang kurang dilawati dan bandar tahap ketiga akan meningkat apabila pelawat mencari ‘permata tersembunyi’, pengalaman luar musim dan pelancongan yang bertanggungjawab.
“Pelancong akan mengutamakan pengalaman yang memperkaya budaya dan bersifat peribadi, menjadikan sesebuah bandar sebagai destinasi pelancongan baharu,” katanya. – AGENSI
Baca juga :
Leave a Reply