TAWAU: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di semalami, bahawa Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, ‘dikeroyok’ di dalam bilik Asrama 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu, Mac lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh saksi ke-12 pendakwaan (PW12) dalam pernyataan saksinya yang mendakwa, dia melihat sepuluh tertuduh bertindak ‘mengerumuni’ mangsa ketika berada di bilik asrama kolej berkenaan kira-kira jam 10 malam 21 Mac lalu.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Ng Juhn Tao, ketika pemeriksaan utama, saksi yang juga penghuni bilik Asrama 5 Belian itu memberitahu walaupun keadaan di dalam bilik ketika itu gelap, dia masih boleh melihat tertuduh pertama yang mula-mula memukul mangsa bersama ‘kawan’ lain.
Juhn Tao: Boleh beritahu kepada mahkamah, maksud ‘kawan’ tertuduh pertama yang ikut masuk campur tumbuk dan tendang Ijat (Mohamad Nazmie Aizzat)?
PW12: Tertuduh ketiga, keempat, kelima, keenam, kelapan, kesembilan, ke-10, ke-11 dan ke-13.
Juhn Tao : Bagaimana pula dengan tertuduh ketujuh dan ke-12?
PW12 : Tidak pasti
Juhn Tao: Berdasarkan pernyataan saksi, kamu nampak kawan tertuduh pertama, iaitu tertuduh ketiga, keempat, kelima, keenam, kelapan, kesembilan, ke-10, ke-11 dan ke-13 masuk campur ikut tumbuk Ijat. Nampak bahagian mana mereka tumbuk dan tendang?
PW12: Tidak nampak bahagian mana sebab mereka terlalu ramai.
Juhn Tao: Kamu cakap tidak nampak di bahagian mana mereka pukul si mati (Mohamad Nazmie Aizzat) kerana terlalu ramai. Boleh beritahu kedudukan mereka masa itu?
PW12 Mereka mengelilingi si mati yang dalam keadaan terbaring di lantai.
Terdahulu, saksi ke-11 pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa mangsa dilihat hanya memakai tuala dalam keadaan menggigil dan kesejukan di bilik Asrama 7 Belian, kira-kira jam 11 malam yang sama.
Saksi itu turut memaklumkan, dia menyaksikan mangsa berada dalam keadaan lemah dan terbaring di atas tilam di hadapan pintu asrama kolej berkenaan, sebelum membantu memakaikan selimut, baju dan stoking pada mangsa.
Pada masa itu, katanya, terdapat tanda lebam pada bahagian rusuk kiri mangsa, selain telinga kiri dilihat berwarna biru.
Prosiding yang memasuki hari ketujuh, hari ini, membabitkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada jam 9 malam 21 Mac hingga jam 7.38 pagi 22 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Lapan daripada 13 tertuduh itu diwakili oleh peguam, Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi masing-masing diwakili peguam, Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhesseny P Kang, Kusni Ambotuwo serta Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Pendakwaan pula diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Baca juga :
Leave a Reply