{VIDEO} Teksi terbakar di Merlimau, hajat warga emas jumpa anak tidak kesampaian

TIGA individu maut selepas kereta yang mereka naiki musnah terbakar selepas merempuh tembok jambatan di Jalan Kampung Seri Lanchang, Merlimau, Melaka pada Khamis.

Kejadian ngeri itu turut berjaya dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

Melalui video berdurasi kurang daripada seminit memaparkan api marak dan asap tebal menyelubungi kawasan tersebut.

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farid Abu Bakar berkata, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 9.09 pagi dan sepasukan 11 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati sebuah kereta Proton Iswara terbabas melanggar tembok jambatan dan terbakar 90 peratus.

“Terdapat tiga orang mangsa terperangkap di dalam kereta dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, polis mengesahkan tiga mangsa maut dalam kejadian kereta terbakar merupakan pemandu teksi dan pasangan suami isteri yang juga penumpang warga emas.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, mangsa yang maut adalah pemandu S Subbramaniam, 71, dan penumpang, Husali Umar, 84, dan isterinya, Mastura Said, 60.

“Polis menerima laporan daripada orang awam pukul 9.30 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi untuk melakukan siasatan.

“Hasil siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila teksi yang dalam perjalanan dari Jasin menghala ke Merlimau dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar tembok jambatan.

“Akibat perlanggaran itu kereta mengalami kebakaran dan menyebabkan semua mangsa terbakar seluruh badan dan disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas perubatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, pihaknya difahamkan pasangan warga emas itu dalam perjalanan dari Semujuk untuk menziarahi anak mereka di Merlimau dan duduk di tempat duduk belakang.

“Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas tenaga gas asli (NGV) yang dipasang pada kenderaan akibat daripada kemalangan.

“Mayat semua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*