SITUASI banjir yang melanda negara terutamanya di Kelantan jelas membimbangkan dengan semakin ramai penduduk terpaksa dipindahkan.
Sebelum ini, tular apabila sebuah restoran atas bot di negeri itu terlepas dan dibawa oleh air deras dan menghampiri laut.
Restoran yang dikenali sebagai JL Fara Houseboat yang terletak di Kota Bharu, Kelantan dibawa oleh air deras dan ia menyebabkan kerugian hampir RM1.2 juta.
Menurut pemiliknya yang dikenali sebagai Fara Sharina, restoran itu dibawa oleh air deras sebelum berjaya diselamatkan 500 meter dari memasuki kawasan laut.
Kata Fara, suaminya bertindak berani dengan terjun ke dalam air banjir untuk menyelamatkan restorannya itu walaupun dinasihatkan oleh pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) supaya tidak berbuat demikian.
“Masa pihak APMM kata jangan terjun, dia terjun juga. Dia seorang diri terjun masa air sedang mengalir kuat. Mujur, ada seorang pak cik datang menaiki bot menyelamatkan dia,” ujar Fara kepada segmen Morning Morning Suria terbitan Suria FM pada Khamis.
Fara berkata, punca restoran botnya dibawa oleh air deras adalah akibat hentakan daripada pokok besar yang menghempap premis itu.
Hentakan itu menyebabkan tekanan rakit yang menyokong restoran bot itu lalu tenggelam di bawah air.
“Dengan air yang laju dan kuat, ada satu tali yang membawa dan menyebabkan ia ke bahagian depan. Apabila tiga lagi tali terputus, terus membawa ia pergi,” jelasnya.
Akibat bencana banjir itu, ia berpotensi membuatkan aktiviti ekonomi tidak berjalan di kawasan terjejas dan ia mungkin menyebabkan pekerja-pekerja di restoran milik Fara tidak memperoleh gaji.
Namun begitu, Fara memberitahu yang gaji para stafnya masih berjalan dengan mereka menunjukkan komitmen membantu menyelamatkan restoran bot itu.
“Staf yang ada dalam 15 orang. Walaupun sekarang ni tak kerja, tapi gaji masih berjalan.
“Staf saya pun banyak membantu, mereka menebang pokok pada malam kejadian, ada juga yang tak tidur semalaman kerana menyelamatkan bahan mentah,” katanya.
Baca juga :
Leave a Reply