{VIDEO} Kediaman lapan individu dipercayai pengikut Millah Abraham di Jasin dikepung

Rumah pengikut ajaran sesat Millah Abraham yang membawa amalan bercanggah dengan mendakwa umat Islam tidak perlu menunaikan solat fardu dan Jumaat dikepung penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), tengah malam tadi.

Dalam serbuan selama empat jam sehingga 4 pagi itu, penguat kuasa mengepung empat buah rumah di sekitar kawasan Jasin termasuk Selandar.

Seramai lapan individu termasuk tiga pasangan suami suami isteri dan dua lelaki bersia antara 28 hingga 72 tahun dipercayai pengikut ajaran itu ditahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, serbuan itu merupakan hasil risikan selepas menerima aduan daripada orang ramai mengenai terdapat penyebaran dan pengamalan ajaran Millah Abraham di kawasan terbabit.

“Dengan kekuatan seramai 70 pegawai dan penguat kuasa, kita telah mengepung empat buah rumah pengikut Millah Abraham dan penggeledahan dilakukan di premis terlibat.

“Pelbagai barang kes dipercayai berkaitan ajaran itu ditemui seperti Ruhul Qudus Eksistensi dan Esensi Al-Quran, Jalan Kebenaran Universal, Renungan Spiritual, Membaca Alam Membaca Zaman dan lain-lain.

“Susulan itu kita menahan enam individu yang merupakan pasangan suami isteri, manakala dua lagi adalah lelaki bujang,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, peralatan elektronik seperti komputer riba dan telefon bimbit milik kesemua individu terbabit turut dirampas untuk tujuan forensik digital.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, latar belakang pekerjaan individu ditahan termasuklah pesara kerajaan, pekerja swasta, bekerja sendiri dan suri rumah sepenuh masa.

“Hasil soal siasat dilakukan mereka ini mengaku tidak menunaikan solat fardu dan solat Jumaat.

Baca juga :

“Pengajian pengikut ajaran Millah Abraham telah dilakukan secara dalam talian menerusi beberapa aplikasi tertentu dan mereka juga aktif merekrut ahli baharu terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan,” ujarnya.

Katanya, kesemua individu terbabit ditahan di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 atas kesalahan menghina agama Islam dengan mengingkari atau melanggar fatwa yang telah diwartakan.

Jelasnya, individu terbabit juga dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60 Enakmen yang sama iaitu kesalahan ajaran salah dan Seksyen 48 penerbitan agama yang berlawanan dengan hukum syarak.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*