PEMERGIAN insan tersayang, khususnya ibu dan bapa pastinya bukan mudah untuk dilalui oleh sesiapa pun.
Bagi anak yang kehilangan dua insan penting ini, kerinduan yang tidak terungkap akan dirasai dan menziarahi pusara arwah sedikit sebanyak dapat mengubat rindu.
Menerusi satu perkongsian di laman sosial, seorang pemuda yang menjadikan aktiviti ziarah pusara ibunya sebagai rutin menarik perhatian seorang pengunjung lain.
Bagaimanapun, timbul tanda-tanya dalam diri pengunjung itu apabila kelibat pemuda itu sudah lama tidak kelihatan di tanah perkuburan berkenaan, dipercayai terletak di Bangi, Selangor.
“Susah hati saya dibuatnya. Dah sebulan lebih saya tak nampak anak ini. Selalunya kalau saya ke sini, pagi ke petang ke, dia ada datang ziarah kubur ibu dia.
“Kalau datang siap bawa air teh ikat tepi. Lama dia bersila tepi kubur ibu dia. Ini (gambar) kali terakhir saya nampak dia. Masa ni dah nak pukul 6.30 petang,” ujar pengunjung wanita tersebut di Facebook Su Ahmad.
Wanita itu berkata, ketika gambar pemuda itu dirakam, dia memakai pakaian seragam penghantar makanan dan membentangkan tikar di tepi pusara ibunya sebelum tidur selepas membacakan Yasin.
“Jom kejut dia nak? Risau lah ummi, dah nak Maghrib ni. Kalau orang kubur tak perasan dia kat sini macam mana? Pintu pagar nak tutup dah pukul 7 nanti, saya cakap pada anak-anak dara saya.
“Tapi anak-anak kata ‘Biarkan je dia ummi. Dia nak rehat kejap kot. Penat, sekejap lagi bangun la tu’,” ujar wanita itu yang sering hadir menziarah pusara suaminya di tanah perkuburan sama.
Menurut wanita itu, anak-anaknya memaklumkan bahawa pemuda berkenaan sering menziarah pusara ibunya, dipercayai peniaga nasi lemak di Bangi dan meninggal dunia akibat kemalangan.
“Rupanya masa saya dalam iddah, anak-anak saya kan hari-hari ziarah kubur Baba mereka, jadi rider ni pun bertanya kot. Itu yang budak-budak ni tahu kisah dia.
“Ibu rider ni meninggal lebih sebulan selepas suami saya dikebumikan di situ,” katanya.
Walaupun kini kelibat penghantar makanan itu tidak kelihatan seperti sebelum ini, dia berharap pemuda berkenaan berada dalam keadaan sihat.
“Saya tunggu lagi budak ni, tapi tak nampak-nampak. Manalah dia pergi, harapnya dia sihat. Saya cuba husnuzon, mungkin dia dah masuk universiti mana-mana. Mungkin jauh, tu tak datang-datang tu.
“Semoga Allah sentiasa merahmati dia dan memudahkan urusan dunia dan akhirat dia. Nampak baik budaknya walaupun saya tak pernah bersembang dengan dia,” jelasnya.
Malah, dia turut memuji pemuda itu kerana budi pekertinya setiap kali menziarahi pusara ibu.
“Cara dia santuni kubur ibu dia pun, boleh tahu macam mana akhlak dia. Dunia berbagai cerita. Di kubur sahaja pun bermacam-macam jenis orang boleh jumpa.
“Yang hormatkan kubur ada, yang endah tak endah pun ada, yang boleh ketawa berdekah-dekah seperti tak ambil iktibar pun ada.
“Apa pun, semoga akhiran hidup kita akhiran yang baik dan diredai Allah,” katanya lagi.
Perkongsian wanita ini mengundang sebak netizen di ruangan komen dengan rata-ratanya memuji budi pekerti rider berkenaan.
“Anak soleh… mesti dia rindu ibu dia.
“Moga Allah permudahkan segala urusan adik ni. Sedih pula tengok dia tidur tepi kubur tu,” demikian antara komen netizen.
Baca juga :
Leave a Reply