2 petugas sekolah maut kereta bertembung lori

KUANTAN: Dua petugas Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut, Jerantut maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di KM15 Jalan Lipis–Jerantut dekat Kampung Jeram Bungor, Kuala Lipis.

Ketua Polis Lipis, Ismail Man, berkata kemalangan kira-kira 2.30 petang semalam itu mengakibatkan pembantu operasi Nurshida Md Najib, 38, yang berasal dari Pekan dan pembantu tadbir Nurulfarhana Yahaya, 31, dari Jerantut meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Proton Saga dipandu Nurshida sedang menuju Pejabat Pendidikan Daerah Lipis atas urusan kerja.

Katanya, lori terbabit yang dipandu seorang lelaki bersama kelindan dalam perjalanan dari arah Gua Musang, Kelantan ke Mela, Lipis untuk mengambil tayar.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, dua kenderaan itu bertembung mengakibatkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu lori berusia 31 tahun pula mengalami kecederaan di rusuk sebelah kiri dan kelindannya berumur 33 tahun dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*