Seramai 6,646 pegawai kanan dan rendah polis telah dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan sejak 2020 hingga September lepas, kata Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata, antara hukuman dikenakan termasuk buang kerja melibatkan 613 pegawai; turun pangkat (120); turun gaji (68); lucut hak emolumen (641); dan tangguh pergerakan gaji (152).
Kesalahan-kesalahan dilakukan pegawai terbabit merangkumi aspek integriti, jenayah, rasuah, dadah dan syariah, tambahnya.
“Kalau ada maklumat polis sama ada anggota atau pegawai terlibat salah laku di mana pun, boleh berhubung dan salurkan maklumat kepada saya.
“Saya akan susulkan dengan tindakan dan pastikan identiti anda (pemberi maklumat) dilindungi,” katanya ketika menyampaikan ceramah Pembudayaan Integriti Dalam Kalangan Penjawat Awam Sempena Sambutan Hari Integriti Peringkat Majlis Bandaraya Kuantan 2024 hari ini.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Ayob Khan berkata, dalam memulihkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan sang saka biru itu, tindakan tegas harus diambil terhadap polis yang terlibat dalam kegiatan salah laku tanpa mengira pangkat.
Menurutnya, sekiranya langkah itu gagal dilaksanakan, kepercayaan masyarakat dan rasa hormat terhadap polis akan terhakis.
“Paling penting, sebab itu selalu saya tekankan kita ambil tindakan jangan kira pangkat dan kedudukan …sebagai pemimpin pula, jangan hanya nak popular dan takut nak ambil tindakan,” katanya.
Baca juga :
Leave a Reply