SIAPA sangka, Thailand yang bergelar sebagai kuasa besar sepak takraw akhirnya terpaksa mengakui bahawa skuad Malaysia ketika ini lebih kuat berbanding pasukan Gajah Perang itu.
Ia berikutan selepas prestasi yang ditampilkan oleh salah satu wakil kelab Thailand, Royal Thai Air Force Takraw Club dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) Champions Cup 2024 kurang memuaskan.
Wakil kelab Thailand itu terpaksa berputih mata apabila pulang dengan tangan kosong selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut.
Meskipun tampil dengan dua pemain kebangsaan Thailand iaitu Siriwat Sakha dan Pichet Pansan namun skuad kendalian Pollaphat Supakarn itu gagal menunjukkan prestasi sebenar sebagai pasukan gergasi sepak takraw itu.
Pasukan Thailand yang masih unggul sebagai kuasa besar sukan sepak takraw itu nampaknya perlu mengakui bahawa Malaysia kini sedang menghampiri untuk memegang gelaran tersebut.
Hal ini kerana, para pemain sepak takraw negara kini menampilkan prestasi dan peningkatan yang cukup baik dalam sukan berkenaan.
Bukan sahaja tewas kepada wakil kelab Malaysia malah lebih mengecewakan lagi apabila Royal Air Force terpaksa tunduk kepada India Fighters.
Tiga pasukan yang berjaya mengecewakan wakil Thailand dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, Selangor.
1. Selangor Pistons
Dari Divisyen 1 ke Liga Premier, Selangor Pistons berjaya membuktikan bahawa pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu mampu memberi saingan sengit dalam saingan STL musim ini.
Selangor Pistons yang muncul naib juara Divisyen 1 itu mengejutkan peminat bola rotan apabila berjaya mencuri slot ke saingan STL Champions Cup musim ini.
Bukan itu sahaja, pasukan yang dikendalikan oleh Syahril Rashid sekali lagi mengejutkan penyokong tanah air apabila menumbangkan wakil Thailand, Royal Air Force dalam peringkat Kumpulan B pada Rabu.
Meskipun dibarisi pemain kebangsaan Thailand, ia tidak mematahkan semangat juang tinggi skuad kendalian Ridhuwan Abd Manaf untuk mencatatkan kemenangan straight set (17-16,15-11).
Dengan kemenangan berharga itu, prestasi pemain tempatan kini tidak lagi boleh dipertikaikan kerana mereka terbukti mampu memberikan saingan sengit kepada Thailand.
2. Perak Bison
Naib juara STL, Perak Bison terpaksa ‘bermandi peluh’ sebelum menumbangkan Royal Air Force dengan keputusan 2-1 (15-12,9-15,15-8).
Dzafril Anuar mempertaruhkan Kritsada Sungvung (tekong), Aidil Aiman (pengumpan) dan Noraizat Nordin (perejam) buat pasukan Perak Bison, manakala Royal Air Force dibarisi oleh Siriwat Sakha (tekong), Wichan Temkort (pengumpan) dan Phutawan Sopa (perejam).
Meskipun bermula garang dalam set pertama namun tekong import Perak Bison, Kritsada membuktikan kredibilitinya selaku tekong utama Perak selepas ketajaman servisnya menoktahkan mata akhir buat pasukannya untuk melakar kemenangan 15-12 dalam set pertama.
STLCC
Sebahagian aksi apabila dua pemain Royal Thai Air Force cuba menahan rejaman daripada perejam Perak Bison (tengah). — Facebook/STL
Begitu pun, ketajaman Phutawan Sopa menjadi mimpi ngeri buat Perak Bison dalam set kedua apabila terpaksa akur tewas dalam tempoh 20 minit untuk mengheret pasukan Utara itu ke set penentuan.
Perak Bison kembali memperkemaskan corak perlawanan dengan lebih kemas dalam set penentuan dengan rejaman Noraizat memastikan kemenangan milik mereka.
Meskipun diheret ke set penentuan namun Perak Bison berjaya membuktikan kemampuan sebagai pemain tempatan yang beradu tenaga berdepan wakil Thailand.
3. India Fighters
STFI-India Fighters tidak ketinggalan untuk melakar kejutan ke atas Royal Thai Air Force selepas menang 2-1 pada aksi terakhir kumpulan B.
Meskipun ia hanya sekadar perlawanan pelengkap jadual, namun kemenangan STFI-India Fighters ke atas pasukan yang dibarisi pemain-pemain terbaik dunia itu boleh dianggap sejarah buat sepak takraw negara tersebut.
Arun selaku tekong, Yumnam Akash (perejam) dan Sorakhaibam yang bertindak sebagai apit kiri jelas tidak menghiraukan reputasi hebat dimiliki Nichakul Seehakai serta Siriwat Sakha di posisi tekong, Pichet Pansan (apit kanan) dan Wichan Temkort (apit kiri).
IF VS RTAF
Kemenangan STFI-India Fighters ke atas pasukan yang dibarisi pemain-pemain terbaik dunia itu boleh dianggap sejarah buat sepak takraw negara tersebut. — Facebook/STL
Meskipun hampir meraih kemenangan dalam set penentuan namun perejam India Fighters, Akash cemerlang dalam melakukan rejaman tajam dan mengesahkan kemenangan bermakna itu dengan keputusan akhir 15-13.
Dengan kemenangan tersebut, wakil kelab dari India berjaya membuka mata penyokong di seluruh dunia, membuktikan bahawa mereka tidak kurang hebatnya dalam saingan STL musim ini setelah berjaya menumbangkan pasukan Thailand.
Baca juga :
Leave a Reply