Mayat wanita hampir reput ditemukan dalam bilik di sebuah rumah di Taman Puteri Lindungan Bintang, Pasir Puteh di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat awal diterima pada pukul 8.31 pagi oleh orang awam berkaitan seorang wanita tempatan berusia 54 tahun yang dilaporkan tidak sedarkan diri dan terkurung di dalam bilik.
Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati mangsa telah pun meninggal dunia dengan keadaan badan telah membusuk.
“Tindakan pantas polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 21 tahun yang juga merupakan anak saudara mangsa bagi membantu siasatan.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk permohonan reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Baca juga :
- {VIDEO} 2 lelaki guna kayu baseball rompak kedai di Klang, mesin duit antara yang ‘dikebas’
- Maut jatuh tingkat 16 di George Town, remaja perempuan disyaki bergaduh dengan kekasih
- {VIDEO} Pengguna TikTok buat konten lucah promosi produk undang padah
“Setakat ini, kesan kecederaan luaran tidak dapat dilihat pada tubuh mangsa ekoran keadaannya yang mula mereput. Berapa lama mangsa dipercayai telah meninggal dunia juga akan diketahui selepas proses bedah siasat,” katanya.
Difahamkan, suspek tinggal bersama ibu saudaranya di rumah berkenaan dan mereka berdua dikatakan sering bertengkar namun sejak beberapa hari lalu, jiran terdekat tidak lagi mendengar pergaduhan antara suspek dan mangsa.
Menurut sumber, maklumat berkaitan mangsa yang terkurung di dalam bilik itu dimaklumkan sendiri oleh suspek kepada bapa saudaranya sebelum lelaki itu melaporkan hal berkenaan kepada polis.
Difahamkan, punca kejadian kerana suspek dikatakan tertekan akibat dikongkong oleh mangsa.
Leave a Reply