Beg berisi wang tunai RM1 juta hilang ditemui semula

Beg berisi wang tunai RM1 juta yang dilaporkan hilang selepas proses kutipan syarikat keselamatan dari sebuah bank di Ampang Point semalam, sudah diserahkan kepada polis.

Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi, berkata beg itu dipercayai terjatuh atas jalan ketika van syarikat keselamatan melalui satu laluan berselekoh, sebelum ditemui di Jalan Hulu Kelang menuju Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) arah ke ibu negara.

“Beg berisi RM1 juta itu terjatuh di tengah jalan sebelum ditemui seorang pemandu kereta yang melalui laluan berkenaan.

“Beg berkenaan sudah pun diserahkan kepada pihak polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk merakam keterangan individu menemui beg itu serta petugas van keselamatan,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di IPD Petaling Jaya.

Semalam, Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail mengesahkan menerima laporan kehilangan beg berisi wang tunai RM1 juta selepas proses kutipan syarikat keselamatan dari sebuah bank di Ampang Point.

Sementara itu, Sasikala berkata, siasatan masih di peringkat awal.

“Kita akan maklumkan sebarang perkembangan lanjut selepas siasatan selesai,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*