Pengerusi masjid di sebuah daerah negeri ini direman enam hari hingga 10 November, disyaki mengemukakan senarai nama asnaf berstatus miskin yang tidak layak menerima zakat kepada sebuah badan kebajikan swasta.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin di Mahkamah Majistret Kemaman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Sumber berkata, lelaki berusia 50-an itu ditahan ketika hadir di pejabat SPRM pada 2.45 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan tersebut pada April lalu dan seramai 50 penerima yang tersenarai telah menerima wang zakat bernilai RM1,000 setiap seorang.
“Suspek telah menerima dana zakat tersebut daripada sebuah syarikat minyak di negeri ini, di mana suspek merupakan salah seorang pekerja di situ,” kata sumber terbabit.
Katanya, suspek ditangkap bersama isterinya yang didakwa turut tersenarai sebagai antara penerima zakat berkenaan.
Bagaimanapun, isterinya dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Baca juga :
Leave a Reply