Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin mahu maklum balas segera diambil terhadap isu berkaitan pasukan keselamatan itu yang dibangkitkan di media sosial.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelak persepsi negatif terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila isu berkenaan menjadi tular disebabkan tiada maklum balas pihak berkuasa.
“Sesiapa pun boleh viral (tular) dalam media sosial. Jadi kalau tiga empat hari baharu kita nak ambil tindakan dan maklum balas, ia beri kesan tidak elok.
“Sepatutnya keluar sesuatu itu (isu tular), kita bagi maklum balas cepat,” katanya selepas menyampaikan ceramah pada Sambutan Hari Integriti Peringkat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di Klana Resort, di sini hari ini.
Kira-kira 250 kakitangan pentadbiran kerajaan negeri hadir. Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (Pengurusan), Datuk Rozitta Sulaiman.
Ayob Khan juga mahu PDRM mengambil tindakan lebih awal dan proaktif dalam mengesan anggotanya yang terbabit melakukan jenayah rasuah atau salah laku.
Baca juga :
- {VIDEO} SPRM ‘terjah’ pejabat FashionValet, Khazanah, PNB dan MOF
- Isu FashionValet: Vivy Yusof, suami dipanggil SPRM
- Ingat polis ni semudah itu ke awak nak game… Individu tak puas hati disaman ketika isi minyak
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan keselamatan itu tidak terjejas.
Katanya, kelalaian mengambil tindakan awal akan menyebabkan jabatan atau agensi kerajaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih kehadapan.
“Tiada sebab pasukan tidak dapat mengesan kesalahan dilakukan anggota sehingga SPRM yang lebih dahulu menahan mereka.
“Bagaimana SPRM dapat kesan dan kita tidak dapat. Nampak seperti kelemahan kita.
“Jangan tunggu hingga nampak seperti kita tidak proaktif,” katanya sambil memetik kes SPRM menemui wang tunai hampir RM2 juta di `rumah selamat’ seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintenden (DSP) beberapa bulan lalu.
Leave a Reply