{VIDEO} SPRM ‘terjah’ pejabat FashionValet, Khazanah, PNB dan MOF

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu Kementerian Kewangan (MOF), pejabat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Permodalan Nasional Bhd (PNB) serta ibu pejabat FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) di Bangsar untuk membantu siasatan kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta.

Dalam siaran di laman TikTok rasmi SPRM hari ini, sebanyak empat lokasi berkaitan pelaburan dalam FashionValet diserbu penyiasat SPRM, sepanjang hari ini.

Menerusi siasatan itu, kelihatan sekumpulan pegawai SPRM masuk ke ibu pejabat berkenaan dan kemudiannya memeriksa beberapa dokumen mengenai pelaburan dua buah agensi berkaitan kerajaan (GLC) dalam syarikat itu.

Turut kelihatan, dua individu dipercayai usahawan fesyen yang juga pengasas bersama FashionValet iaitu Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar ‘bersoal jawab’ dengan penyiasat SPRM di salah satu pejabat berkenaan. Namun kedua-dua wajah mereka dimozekkan.

Ia juga menyatakan, siasatan berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 18, Akta SPRM.

“Semua empat lokasi itu diserbu serentak hari ini,” katanya.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya menyiasat pelaburan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Khazanah pada 2 November lalu mengarahkan audit dalaman berhubung perkara itu.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis Parlimen pada 28 Oktober lalu, menyatakan nilai saham Khazanah Nasional dan PNB dalam FashionValet menurun hampir RM44 juta apabila perniagaan itu dijual pada 2023 berbanding jumlah yang dibelanjakan pada 2018.

Baca juga :

Ia juga menyatakan Khazanah melabur RM27 juta dan PNB RM20 juta untuk memperoleh pegangan minoriti dalam jenama fesyen itu dalam rancangan untuk meningkatkan perniagaan Bumiputera dalam sektor e-dagang.

Bagaimanapun, MoF berkata FashionValet kemudiannya dilanda masalah kewangan ketika pandemik COVID-19, walaupun tempoh sama meningkatkan jualan banyak perniagaan e-dagang tempatan.

Sementara itu, BH masih berusaha menghubungi Vivy, namun usahawan fesyen berkenaan masih belum memberikan sebarang maklum balas.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*