Luluh hati sepasang suami isteri sebaik mengetahui anak bongsu mereka yang berusia lima bulan, Nadhif Idlan disahkan mengidap kecacatan jantung kongenital bulan lalu.
Mohamad Iskandar Zainol Abidin, 26, dan Nur Nazirah Abdul Samat, 26, juga terpaksa berulang alik ke hospital hampir setiap hari bagi memastikan Nadhif mendapat rawatan terbaik.
Susulan itu, Nur Nazirah terpaksa berhenti bekerja demi menjaga anak kedua daripada dua beradik itu, manakala suaminya hanya bekerja kilang dengan gaji pokok sekitar RM1,500 sebulan.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, bayi dari Kuala Kurau, Perak itu kini memerlukan dana daripada orang ramai sebanyak RM67,000 bagi membiayai kos pembedahan yang perlu dijalankan dalam kadar segera.
Menurut beliau, Nadhif terpaksa bergantung dengan alat bantuan oksigen di hospital kerana mengalami kesukaran untuk bernafas dengan sendiri selain dikesan mengalami sianosis atau jari kebiruan.
“Masalah itu dikesan ketika Nadhif berusia empat bulan apabila doktor mendapati bayi tersebut mengalami kecacatan septum atrium (ASD) dan kecacatan septum ventrikel (VSD) semasa pemeriksaan lanjut akibat batuk.
“Dadanya akan berlekuk semasa bernafas dan jika alat bantuan oksigen dilepaskan, lekuk akan menjadi lebih dalam.
“Justeru, demi menyelamatkan nyawa bayi ini, keluarganya memerlukan dana sebanyak RM67,000 bagi menjalani pembedahan dengan segera,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Baca juga :
- Artis wanita Kelantan ‘kantoi’ bersama pil kuda – ‘Saya yakin dia tidak bersalah, mungkin mangsa keadaan’ – Eddie Hamid
- “Pening juga kalau macam ini… Guna botol air cop parkir, wanita luah rasa tidak puas hati
- Bateri jam, pisau lipat antara 56 objek ditemui dalam perut remaja 15 tahun
Tambah Sui Hau, ibu bapa Nadhif juga menanggung anak lelaki sulung berusia dua tahun dan setakat ini pasangan terbabit hanya mampu membayar RM3,000 bagi pembedahan yang keseluruhannya menelan belanja RM70,000.
Beliau berkata, pihaknya nekad membantu mengumpul dana diperlukan selepas pasangan suami isteri itu tampil ke pejabatnya di Seberang Perai.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare bernombor 3193433435 atau layari www.onehopecharity.org.
Leave a Reply