Hukuman penjara dan denda menanti kenderaan bernombor pendaftaran asing yang didapati menggunakan plat Malaysia bagi mengisi petrol bersubsidi RON95.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Johor, Azmil Zainal Adnan, berkata mereka yang didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman denda antara RM5,000 hingga RM20,000, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan.
Beliau mengulas catatan tular di media sosial, mendakwa pemandu kereta Singapura menukar nombor plat kenderaan kepada plat Malaysia sebelum mengisi RON95.
“Pemandu kenderaan Singapura diingatkan untuk mematuhi peraturan,” katanya lapor Berita Harian.
Azmil berkata undang-undang Malaysia mewajibkan semua kenderaan bermotor memaparkan nombor pendaftaran dengan jelas di hadapan dan belakang kenderaan.
“Kami akan meneruskan pemantauan dan risikan untuk mengenal pasti dan bertindak ke atas salah laku ini,” katanya.
Baca juga :
Leave a Reply