Cuba tiup api perkauman, 2 wakil rakyat DAP kecam pesuruhjaya PAS Perak

Dua wakil rakyat DAP menyelar Razman Zakaria mendakwa pesuruhjaya PAS Perak itu bermain sentimen perkauman dalam insiden kibaran bendera China dalam perarakan di Teluk Intan.

Adun Batu Lanchang Ong Ah Teong, menuduh Razman meniup api perkauman, manakala Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata beliau mengambil kesempatan menyemai benih kebencian dan menghasut perpecahan.

Ong berkata, Razman “terang-terangan” memfitnah Nga Kor Ming apabila mendakwa ketua DAP Perak itu merasmikan perarakan berkenaan, sedangkan beliau menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur.

“Razman dengan sengaja menyebarkan fitnah, seperti ada udang di sebalik batu.

“Reaksi Razman yang terlalu sensitif dan tidak munasabah bukan bererti betapa dia cintakan negara, tetapi menjatuhkan imej negara kita, menghasut, dan meniupkan api perkauman yang boleh menimbulkan kesan sangat buruk terhadap masyarakat, amalan tersebut perlu dihapuskan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menyokong hasrat Nga mengemukakan saman terhadap Razman.

Kontroversi tercetus susulan perkongsian rakaman video dalam talian memaparkan sekumpulan individu mengibarkan bendera China, berdekatan Menara Condong di Teluk Intan, ketika festival kuil dan perarakan.

Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia kemudian memohon maaf sambil menyatakan bendera dikibarkan warga China yang hadir pada festival itu tidak diatur pihak penganjur.

Razman mengkritik penganjuran berkenaan, selain didakwa mengeluarkan kenyataan dalam penganjuran demonstrasi membantah acara terbabit, tidak lama selepas itu.

Syahredzan juga mengkritik ucapan Razman, sambil menyatakan apa diucapkan sebagai “menangguk di air yang keruh dengan terus membakar sentimen”, dengan eksploitasi insiden kibaran bendera tersebut.

“Ucapan ini jelas merupakan ungkapan yang menyemai benih kebencian dan menghasut perpecahan dengan mengambil kesempatan terhadap insiden pengibaran bendera China dalam suatu upacara keagamaan yang disertai oleh penganut dari pelbagai negara,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Katanya, lebih baik sekiranya Razman dan PAS menjadi pembangkang bertanggungjawab dan konstruktif di Perak dan peringkat persekutuan, bukannya menjadi batu api kepada perpecahan rakyat.

“Malangnya, PAS dan PN sudah terbukti tidak berupaya untuk menjadi ejen perpaduan rakyat, malah terus memainkan isu kaum dan agama demi kepentingan politik mereka.”

Polis Perak sedang menyiasat insiden berkenaan dan telah merakam keterangan daripada 16 warga China yang mengambil bahagian dalam perarakan tersebut.

Rakaman keterangan turut diambil daripada pihak mengambil bahagian dalam demonstrasi bantahan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*