‘Power’ media sosial, nasib Cikgu Din di Sarawak akhirnya dapat perhatian KPM. Seorang guru berkhidmat di Sarawak diuji dengan masalah kesihatan isterinya yang tular di media sosial, akan ditempatkan di sekolah berhampiran pasangannya itu buat sementara waktu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata arahan penempatan sementara ‘Cikgu Din’ atau nama sebenarnya Izzuddin Izhar itu dilakukan hasil perbincangan antara Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan.
Katanya, ia sekali gus membolehkan Izzuddin dapat bersama dengan isterinya Nur Atiqah My Yusoff dalam tempoh sukar susulan rawatan kanser ketika ini.
“Pertamanya, kita (KPM) merakamkan ucapan simpati kepada Cikgu Din atas keadaan yang berlaku terhadapnya dan kedua kita akan uruskan dengan sebaik-baiknya (untuk membantu Cikgu Din).
“Buat masa ini, kita bagi ruang untuk dia bersama isterinya melalui arahan penempatan sementara dalam tempoh yang amat memerlukan ini.
“Jadi kita doakan sekali lagi supaya Cikgu Din diberikan kekuatan dan kesabaran manakala isterinya juga diberikan kesembuhan,” katanya ketika ditemui pada satu majlis di Nibong Tebal hari ini, menurut Berita Harian.
Terdahulu, KPM dalam kenyataannya memaklumkan tindakan segera sedang diambil bagi membantu guru berkenaan termasuk diberikan cuti untuk berada bersama isterinya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada tindakan diambil hanya selepas isu itu tular, Fadhlina menafikannya dan menegaskan ia tidak betul.
“Ini tidak betul, saya ingat proses perbincangan dan juga bagaimana kita menawarkan alternatif-alternatif pada Cikgu Din telah berlangsung sebelum itu lagi.
Turut baca :
- Guna kaedah rawatan sesat, dua wanita pekerja Tabib Adam ditahan
- Mayat wanita ditemukan dalam bilik sewa, rupanya dibunuh suami sendiri
- Waspada! Lelaki ini, suka ‘follow’ wanita dari arah belakang di Cyberjaya
“Bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana perhatian itu telah pun sampai dan kita lihat begitu ramai masyarakat yang empati kepada keadaan Cikgu Din.
“Kita akan ambil perhatian penuh kepada semua (kes bukan sahaja berkaitan Cikgu Din) berdasarkan pertimbangan-pertimbangan yang ada,” katanya.
Kisah Cikgu Din tular di media sosial apabila diuji dengan masalah kesihatan isterinya yang disahkan menghidap kanser.
Menerusi hantaran akaun Harima Abd Rahman, guru itu didakwa telah memohon pertukaran ke Semenanjung untuk bersama isterinya namun permohonan tersebut ditolak berkali-kali, sehingga beliau menghidap kemurungan.
Terdahulu, Nor Atiqah mengatakan penyakit yang dihidapinya itu semakin agresif di mana doktor sendiri memaklumkan jangka hayatnya mungkin tidak bertahan lama.
Ia sekaligus membuatkan netizen berasa pilu hati kerana ramai merasakan Cikgu Din perlu berada di samping isterinya bagi menghadapi saat-saat sukar seperti itu.
Leave a Reply