Hospital di Utara Gaza habis bekalan ubat, bahan api semakin kritikal

Hospital al-Awda di utara Gaza kini kehabisan bekalan perubatan dan makanan akibat pengepungan berterusan Israel, termasuk bekalan bahan api semakin kritikal, kata pengarah hospital, Mohamed Saleha.

“Kami hidup di bawah pengepungan sepenuhnya kerana pihak pendudukan Israel memperketat cengkaman mereka terhadap hospital sejak Isnin. Kakitangan perubatan tidak dapat bergerak atau menerima sebarang sokongan luar,” katanya kepada agensi Anadolu.

Beliau mendakwa, semua stok ubat-ubatan dan makanan telah habis, manakala bahan api diperlukan untuk mengendalikan jabatan penting hampir kehabisan, yang boleh membawa bencana besar dalam tempoh beberapa hari jika bekalan tidak dihantar segera.

Saleha menjelaskan, persekitaran hospital sentiasa menjadi sasaran Israel, menyebabkan mustahil bagi individu cedera untuk sampai ke hospital atau sesiapa pun meninggalkan kawasan itu.

Hospital di Utara Gaza habis bekalan ubat, bahan api semakin kritikal
Hospital al-Awda kehabisan stok ubat-ubatan dan makanan, manakala bahan api diperlukan untuk mengendalikan jabatan penting hampir kehabisan.

“Hospital ini dipenuhi pesakit yang memerlukan perhatian perubatan segera, termasuk wanita yang baru melahirkan dan memerlukan penjagaan selepas bersalin,” tegasnya.

Beliau menyeru organisasi antarabangsa memberi tekanan kepada Israel bagi menghentikan kekejaman dan jenayah genosid, serta membolehkan kemasukan ubat-ubatan, bekalan perubatan, dan makanan ke hospital.

Pada 6 Okt, tentera Israel memulakan serbuan ke utara Gaza, mendakwa ia bertujuan menghalang Hamas daripada mengukuhkan kedudukan di kawasan itu, sementara pihak Palestin mendakwa Israel ingin menduduki wilayah terbabit dan mengusir penduduknya.

Lebih 42,700 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala hampir 100,300 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*