Cuba culik kanak-kanak dua tahun, lelaki warga asing dicekup

Polis menahan lelaki warga asing dipercayai terlibat dalam cubaan menculik seorang kanak-kanak berusia dua tahun di Kuang, Rawang dekat sini semalam.

Kejadian itu turut tular apabila beberapa video menunjukkan lelaki itu diikat serta ditahan orang awam berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya terkesan dengan dua video tular di Facebook menunjukkan seorang lelaki warga asing sedang disoal siasat selain satu lagi video menunjukkan lelaki itu dalam keadaan terbaring dengan tangan diikat.

Katanya, pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 47 tahun menyatakan terdengar daripada jiran pengadu menjerit meminta tolong ada lelaki cuba menculik anaknya pada pukul 12.40 tengah hari, semalam.

“Pengadu telah pergi ke rumah jiran dan terlihat lelaki berkenaan melarikan diri.

“Susulan itu, pengadu bersama penduduk telah mengejar lelaki tersebut dan berjaya menahannya berhampiran kawasan pembuangan sampah, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, berlaku pergelutan ketika cuba menahan suspek namun dia berjaya ditangkap dan diserahkan pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, kejadian dipercayai berlaku di ruang tamu rumah mangsa yang didatangi suspek yang berseorangan dan memperkenalkan diri sebagai tukang cuci.

Jelas beliau, susulan itu, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu jenayah culik.

“Dengan hukuman penjara yang boleh menjangkau sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda dan Sekayen 511 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara 10 tahun dan denda.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan apa-apa perkara serta tindakan yang menyalahi undang-undang,” ujar beliau.

Tambahnya, sebarang maklumat berkenaan kejadian boleh hadir ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Azammudin Mohd. Razib di talian 016-5661597.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*