Lelaki mengaku tampar teman wanita tak balas mesej ‘Good Morning Sayang’

Seorang penjaga stor dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan mencederakan teman wanita kerana tidak membalas mesej WhatsApp yang dihantar, pada Khamis lalu.

Tertuduh, Muhamad Nurhaqimi Harun, 20, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Menurut fakta kes, insiden itu berlaku ketika teman wanitanya menghantar makanan tengah hari ke tempat kerjanya.

Memetik Harian Metro, siasatan polis menunjukkan bahawa berlaku pertikaian antara mereka kerana wanita tersebut tidak membalas mesej “good morning sayang” yang dihantar. Keadaan menjadi tegang apabila tertuduh, yang marah, menampar pipi kiri mangsa sehingga menyebabkan cedera ringan.

Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip. Tertuduh didakwa mencederakan teman wanitanya yang berusia 20 tahun di sebuah kedai haiwan peliharaan di Jalan Parit Bilal pada 10 Oktober lalu, sekitar jam 12.15 tengah hari.

Dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya.

Setelah mendengar hujahan dari kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM800. Jika tertuduh gagal membayar denda tersebut, dia akan menjalani hukuman penjara selama 14 hari.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*