Tampar isteri kerana bisul undang padah, lelaki dipenjara 2 bulan

Tukang cuci loji air dipenjara dua bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menampar isteri gara-gara enggan mendapatkan rawatan akibat penyakit bisul, Isnin lalu.

Tertuduh, Mohd Sahrul Jamaludin, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya berusia 30 tahun di sebuah rumah di Parit Raja, jam 1 pagi, 14 Oktober lalu.

Disebabkan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya manakala Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh meminta mangsa mendapatkan rawatan di hospital susulan penyakit bisul dialami di belakang.

Namun, mangsa enggan menuruti permintaan itu dan menganggap sudah menjadi kebiasaan mengalami penyakit seperti itu.

Tertuduh yang tiba-tiba naik angin kemudian memarahi mangsa sehingga berlaku pergaduhan dan kemuncaknya apabila lelaki itu menampar pipi kanan wanita itu berkali-kali.

Pada masa sama, tertuduh turut menekan belakang di mana tempat bisul dialami mangsa hingga sakit.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Parit Raja pada hari sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Normahani Raais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, mahkamah turut mendedahkan beberapa rekod lampau tertuduh termasuk berkaitan dadah serta mencuri.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua bulan berkuatkuasa dari tarikh ditahan, 14 Oktober lalu.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*