Budak 12 tahun mangsa culik dicabul, hampir dijual kepada sindiket pelacuran

Salah seorang suspek kes culik seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, yang dilaporkan hilang di sebuah flat di Klang pada 8 Okt lalu, mahu menjual mangsa kepada sindiket pelacuran di Kuala Lumpur.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan kepada pemberita, berhubung penahanan enam suspek dalam kes itu.

Cubaan itu gagal selepas suspek melihat hebahan polis mengenai kehilangan mangsa, katanya lapor Sinar Harian.

Mereka yang ditahan berusia lingkungan 13 hingga 23 tahun, termasuk dua wanita yang mana salah seorangnya dikenali mangsa.

Polis sedang memburu dua suspek yang dipercayai terlibat sindiket pelacuran, kata Hussein.

Ibu mangsa melaporkan kehilangan kanak-kanak perempuan itu pada 8 Okt lalu. Rakaman CCTV mendapati mangsa menaiki sebuah kereta.

Hussein memberitahu pemberita bahawa kanak-kanak itu dibawa ke sebuah pangsapuri di Shah Alam, di mana mangsa dipercayai dicabul secara seksual oleh dua suspek, sepanjang tempoh empat hari ditahan.

Mangsa turut dikhayalkan suspek menggunakan vape, dan dipercayai didera, katanya.

Susulan hebahan polis mengenai kehilangan mangsa, suspek menghantar mangsa pulang sendirian menaiki kenderaan e-panggilan pada 12 Okt.

Menurut Hussein, semua suspek yang ditahan masih direman enam hari untuk siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai tujuh tahun, dan boleh juga dikenakan denda, bagi penculikan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*