Kereta dirempuh penjenayah, polis lepaskan tujuh das tembakan

Polis melepaskan tujuh das tembakan ke arah sebuah trak pikap selepas bertindak agresif melanggar kereta pasukan ketika cuba ditahan di Serendah di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian pukul 2.41 pagi itu berlaku apabila anggota unit kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor mengejar kenderaan mencurigakan tersebut di lokasi berkenaan.

Katanya, trak pikap Mitsubishi Triton dinaiki penjenayah itu merempuh kenderaan polis sehingga membahayakan nyawa anggota pasukan keselamatan tersebut.

“Anggota polis melepaskan tembakan ke arah kenderaan itu, namun suspek dapat meloloskan diri dengan meninggalkan trak pikap tersebut di tempat kejadian,” katanya.

Ahmad Faizal memberitahu, suspek yang terlibat dalam kejadian itu merupakan empat lelaki tempatan yang mempunyai rekod kes jenayah dan dadah.

Pemeriksaan terhadap trak pikap yang ditinggalkan suspek menemukan peralatan pecah rumah seperti tukul besi, pemutar skru, parang, kuku kambing dan sabit.

“Usaha mengesan kesemua suspek yang terlibat sedang dijalankan. Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Azraai Firdaus Rosli di talian 03-6064 1223 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*