{VIDEO} Kes bunuh kerat lapan, Abah Hayat terlepas tali gantung

Seorang banduan hayat yang terbabit dalam kes pembunuhan kerat lapan di sini, 23 tahun lalu akhirnya dibebaskan dari Penjara Pokok Sena, dekat sini pada 3 Oktober lalu.

Khairul Anuar Zakaria, 64, menerusi akaun TikTok Abah Hayat Bkt Pinang menyifatkan tarikh 3 Oktober tersebut sebagai hari yang amat bersejarah dan bermakna dalam hidupnya.

Katanya yang dikenali dengan nama Abah Hayat, dia dibebaskan daripada hukuman pemenjaraan sepanjang hayat atas kesalahan membunuh seorang individu yang dikerat lapan pada 4 Jun 2001.

“Abah terbabit dalam satu kes pembunuhan potong lapan pada 4 Jun 2001. Pada pagi itu ditahan polis dan dibawa ke IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) di Alor Setar untuk tahanan dan soal siasat.

“Selepas dua minggu atau 14 hari ditempatkan di IPK, telah dibawa ke Penjara Alor Setar untuk tahanan reman di sana. Abah kemudian telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati dan ditempatkan di blok banduan akhir di Penjara Pokok Sena,” katanya menerusi video di akaun TikTok berkenaan.

Menurutnya, setelah meringkuk 10 tahun di dalam penjara, kes itu dibawa ke Mahkamah Rayuan, namun ditolak.

“Pada 2012 pula, abah ke Mahkamah Persekutuan buat rayuan kali kedua dan masih ditolak. Jadi abah dikekalkan sebagai banduan akhir sehingga membawa waktu kepada Mei 2018 yang mana kes abah telah dapat pengampunan daripada Tuanku Sultan Kedah.

“Daripada seorang banduan akhir abah telah ditukar kepada ‘title’ banduan hayat. Pada Februari 2024, kes abah dibawa ke Mahkamah Alor Setar semula kerana pihak pentadbiran Kerajaan Malaysia telah memansuhkan hukuman hayat ke atas semua banduan yang menetap dalam penjara di Malaysia ini,” jelasnya.

Rentetan itu, katanya, hukuman hayat tersebut digantikan dengan hukuman penjara selama 35 tahun dari tarikh tangkap iaitu pada 2001.

“Sehinggalah pada 3 Oktober lalu, abah telah dibebaskan selepas menjalani pemenjaraan selama 23 tahun empat bulan atas kapasiti berkelakuan baik. Itulah perjalanan abah ketika dalam penjara,” ceritanya.

Turut baca :

Dalam video sama, dia turut memaklumkan akan meneruskan perkongsian tentang perjalanannya di dalam penjara serta rentetan kes berkenaan.

“Apa jua pun abah amat berharap akan dapat sokongan daripada semua pihak dan anak-anak semua. Tolonglah bagi sokongan kepada abah,” tambahnya.

Sementara itu, menjenguk ke ruangan komen, ramai yang memberi kata-kata semangat dan tidak kurang juga menyifatkan perbuatan tersebut sangat kejam.

“Alhamdulillah, syukur, gunakan peluang besar yang kedua ini untuk jadi lebih baik, insya-Allah” kata Izsivan.

“Abah hayat siapa tak kenal, saya pun banyak dapat ilmu daripada dia” dan ia diakui Bob Sampoi “Betul, masa aku dok blok dengan abah, dia banyak ajar aku cara sembahyang yang betul,” kongsi Bangcik.

“Assalamualaikum abah, saya pernah duduk bawah tangan abah di Pokok Sena. Atas ajaran abah sekarang saya dah pulih daripada semua kejahatan, terima kasih abah, semoga abah berjaya, nak sangat jumpa abah,” kata Acon Ceo.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*