Jeritan lelaki selamatkan penghuni rumah kedai

Jeritan seorang lelaki menyelamatkan penghuni empat unit rumah kedai dua tingkat yang terbakar di Jalan Kampung Naga, Pekan Kepala Batas, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, pekerja rumah kedai yang dijadikan stor penyimpanan barangan perkakasan tersebut yang dikatakan sedang tidur terjaga sebaik mendengar jeritan tersebut.

Menurut seorang jurujual, Safirun Mohamad, 44, ketika kejadian dia sedang bersembang dengan empat rakan selepas menutup premis tempatnya bekerja yang menjual tambah nilai telefon bimbit di kawasan berhampiran.

“Tiba-tiba, kami terdengar bunyi seperti benda merekah sebelum ternampak api pada bumbung kedai itu. Api cepat marak sehingga kami tidak sempat berbuat apa-apa, selain menjerit meminta penghuni rumah kedai itu supaya keluar menyelamatkan diri.

“Selepas itu, kami menghubungi pihak bomba untuk memaklumkan kejadian,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.10 pagi tadi dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.29 pagi.

Tambahnya, tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu dan siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan anggaran kerugian.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*