{VIDEO} Qari, qariah Malaysia johan tilawah antarabangsa

Qari dan qariah Malaysia dinobat johan Tilawah Al-Quran bagi kategori masing-masing pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 malam ini.

Muhammad Husaini Mahmur diumumkan sebagai pemenang dalam kategori qari selepas meraih markah 95.71 peratus, manakala Abdur Rasheed dari Pakistan di tempat kedua (93.59 peratus) dan di tempat ketiga ialah Wahyu Andi Saputra dari Indonesia (92.09 peratus).

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah kepada Johan Qari bagi Kategori Tilawah Al-Quran Muhammad Husaini Mahmur pada Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur

 

Bagi kategori qariah pula, Nor Hidayah Abdul Rahman muncul johan selepas mengumpul markah 91.76 peratus, diikuti peserta Filipina Raihana Ambangala di tempat kedua (90.26 peratus) dan Syamimi Assahira dari Indonesia di tempat ketiga (89.46 peratus).

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan anugerah kepada Johan Qariah bagi Kategori Tilawah Al-Quran Nor Hidayah Abdul Rahman pada Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur

 

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan hadiah kepada pemenang dalam kategori qari, manakala Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bagi kategori qariah.

Kategori hafazan lelaki pula menyaksikan Oubaydullah Boubacar Ango dari Niger muncul johan dengan markah 97.63 peratus, diikuti Ibrahim Sow dari Ivory Coast (97 peratus) dan tempat ketiga Aeimiddin Farkhudinov dari Russia (96.88 peratus).

Peserta Niger Habsatou Hamissou Boubacar pula muncul johan bagi kategori hafazan wanita dengan markah 96.13 peratus, diikuti Putri Aminah Mohd Hanif dari Malaysia di tempat kedua (94.89 peratus) dan ketiga ialah Fathimah Shaya Zahir dari Maldives (94.38 peratus).

Johan bagi kategori Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran masing-masing membawa pulang wang tunai RM40,000 daripada kerajaan berserta kepingan emas bernilai RM12,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), selain menerima hadiah iringan dan sijil.

MTQHA ke-64 anjuran Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, menampilkan 92 peserta dari 71 negara terdiri daripada 53 bagi tilawah dan 39 hafazan.

Seramai 15 hakim dari pelbagai negara terbabit dalam MTQHA kali ini yang mengekalkan beberapa hakim iaitu dari Maghribi dan Turkiye, selain muka baharu dari Arab Saudi dan Indonesia dengan proses penilaian meliputi aspek tajwid, fasahah, kualiti suara serta ingatan khususnya bagi peserta hafazan

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*