Polis siasat 23 harta GISBH di 10 negara bernilai lebih RM52 juta

Polis mula menyiasat aset Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) di luar negara selepas mengenal pasti 23 harta milik syarikat itu di 10 negara dengan anggaran nilai RM52.4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Shuhaily Mohd Zain berkata, polis masih menunggu maklum balas daripada sembilan negara lain di rantau Asia Tenggara, Eropah dan Timur Tengah, yang dipercayai menjadi lokasi GISBH turut menjalankan operasi.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya dimaklumkan bahawa premis GISBH berada di 19 negara.

“Kita juga minta bantuan melalui Polis Antarabangsa (Interpol), pihak berkuasa negara terbabit dan agensi berkaitan. Kita memperoleh maklumat terdapat tiga premis di sebuah negara telah berhenti beroperasi dengan papan tanda sudah diturunkan malah tingkap dan pintu ditutup dengan plastik hitam.

Kita belum dapat maklumat tentang ahli-ahli mereka di negara tersebut, jadi itu siasatan seterusnya yang akan kita susun, katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

Bagi siasatan aset dan harta GISBH dalam negara pula, Shuhaily berkata, polis telah membekukan dan menyita pelbagai harta masing-masing bernilai RM17,045,095.40 dan RM2,862,450.

Katanya, tindakan pembekuan dilakukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amla) 2001, manakala sitaan mengikut Seksyen 45(2) akta sama, menjadikan jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan berjumlah RM19,907,545.40.

Dalam pada itu, katanya, siasatan terhadap GISBH adalah telus kerana membabitkan proses perundangan terperinci yang dilaksanakan oleh polis dan sistem kehakiman dan tidak wajar dibandingkan dengan tindakan terhadap sebuah gerakan agama pada 1994.

“Masa 1994, kita ada undang-undang pencegahan yang kita tidak perlu pergi kepada sistem kehakiman. Sekarang semua tangkapan kita bawa dalam sistem perundangan terbuka, harus dicari bukti, harus dibawa kepada majistret untuk dapat perintah tahanan lanjut, dan seterusnya.

Prosedur itu sangat telus dan pihak polis menguatkuasakan undang-undang dengan peruntukan yang sememangnya untuk kami kuatkuasakan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendapat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah wawancara yang mengatakan tindakan polis terhadap GISBH adalah terlalu keras.

Shuhaily berkata, terdapat bukti seperti disebut Ketua Polis Negara Razarudin Husain bahawa perniagaan GISBH dimudah cara dengan kefahaman tarekat Aurad Muhammadiah, yang difatwakan sebagai ajaran sesat.

Proses undang-undang semakin matang dan saya harap masyarakat akan semakin faham proses ini, katanya.

Polis akan meneruskan siasatan dan tanggungjawab kami sepenuhnya mencari bukti untuk dibawa kepada pendakwa raya yang akan mengkaji dan mengesyorkan tindakan seterusnya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*