Nahas UiTM Dungun: Duka lama pegawai bank kembali berdarah – ‘Saya kini sudah tiada anak lelaki’

Duka lama seorang pegawai bank kehilangan anak sulung pada tujuh tahun lalu kembali berdarah apabila anak bongsunya juga maut akibat kemalangan jalan raya di hadapan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini malam tadi.

Tambah memilukan Jamaluddin Husin, 53, dia kini kehilangan kedua-dua anak lelakinya termasuk Khairil Anuar Jamaluddin, 20, yang merupakan salah seorang mangsa rempuhan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV pada pukul 7.20 malam.

Dia yang menetap di Kampung Pandan, Kuala Lumpur berkata, tujuh tahun lalu, anak lelaki sulungnya, Muhammad Khairul Izzudin juga meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada usia 22 tahun.

“Sewaktu saya menerima panggilan berhubung kemalangan menimpa Khai (Khairil Anuar) pada kira-kira pukul 9 malam tadi (kelmarin) , darah saya berderau. Dua-dua anak lelaki saya ‘pergi’ akibat nahas jalan raya.

“Kebetulan kedua-dua berita kemalangan saya terima pada waktu dan bulan hampir sama. Abang (Muhammad Khairul Izzudin) pada 3 Oktober, adik (Khairul Anuar) pula 9 Oktober,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun di sini hari ini.

Cerita Jamaluddin, sewaktu terlibat dalam kemalangan, anak sulungnya, Muhammad Khairul Izzudin sepatutnya dijadualkan melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di sebuah institusi pengajian tiggi (IPT) di Lembah Klang.

Tambahnya, Khairul Anuar seakan-akan mahu memenuhi hasrat arwah abangnya yang tidak kesampaian apabila turut melanjutkan pelajaran dalam jurusan sama.

“Malangnya dia yang kini dalam semester tiga pengajian turut meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Kosmo! Online semalam melaporkan Khairul Anuar bersama dua lagi rakan sekampusnya, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, Mohd. Akmal Tukirin, 25, maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda CRV yang dipandu seorang wanita berusia 49 tahun.

Seorang lagi rakan mangsa, Amar Danish Mohd. Ridwan, 20, pula cedera parah pada bahagian pinggang dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*