Pukul lelaki tepi jalan, polis tahan 7 suspek

Polis menahan tujuh suspek yang disyaki memukul seorang lelaki di tepi jalan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) selepas video kejadian tersebut tular di media sosial.

Ketua Polis Kulai Tan Seng Lee berkata polis mengesan video dimuat naik pemilik akaun Facebook ‘This Is Johor’ jam 9.15 malam Ahad yang memaparkan sekumpulan lelaki bertindak seperti samseng dengan memukul seorang lelaki lain.

Katanya, polis juga menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang mengalami cedera ringan, luka calar dan bengkak.

Susulan laporan itu polis menahan suspek berusia antara 25 hingga 40 tahun dalam serbuan sekitar Skudai dan Johor Bahru, kira-kira 8 malam Ahad, hingga 12.30 tengah malam tadi, katanya dalam kenyataan.

Turut dirampas Honda Accord dan Mazda 6, serta alat kawalan jauh, empat telefon bimbit, dan dua batang rotan digunakan dalam kejadian itu.

Tan berkata msiasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada berpunca selisih faham yang bermula hanya disebabkan perebutan tempat duduk di ruang pelepasan di Lapangan Terbang Miri, Sarawak.

Mangsa dan suspek yang saling tidak mengenali mula berselisih faham kerana tegur-menegur antara satu sama lain ketika di Lapangan Terbang Miri, katanya yang memberitahu semua suspek direman hingga Jumaat ini.

Ahad lalu, tular satu video memaparkan sekumpulan lelaki termasuk bersenjatakan kayu memukul seorang lelaki lain di tepi jalan.

Rakaman berdurasi 17 saat itu yang dirakam seorang pengguna jalan raya turut menunjukkan mangsa yang terbaring di atas jalan ditendang suspek beberapa kali.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*