{VIDEO} Kerja gila! Ulang alik Ipoh-KL naik motor Kriss hantar tempahan, pemuda tak kisah apa orang kata

KERJA gila. Mungkin itulah perkataan sesuai untuk menggambarkan tindakan pernah dilakukan Muhammad Shuhur Azizuddin untuk memperkenalkan produk madu kelulutnya.

Pada 2017, kisah pemuda berasal dari Ipoh, Perak ini pernah tular selepas dia dilaporkan mengembara ribuan kilometer ke seluruh Semenanjung Malaysia dengan menggunakan motor klasik Honda Cup C70 milik datuknya.

Pada waktu itu, tujuannya hanya dua. Pertama memenuhi hasratnya menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Kedua adalah bagi memperkenalkan produk madu kelulut yang diusahakan di ladang miliknya.

Kini selepas hampir tujuh tahun, Muhammad Shuhur berkata, kesedaran masyarakat terhadap madu kelulut sememangnya sudah meningkat jauh lebih baik.

Malah katanya, terdapat ramai pengeluar madu kelulut yang kini sudah wujud dalam pasaran tempatan.

“Masa saya pertama kali jelajah itu, madu kelulut boleh dikatakan masih sangat baru. Orang pun masa itu tidak tahu ada sebenarnya madu kelulut ini.

“Tapi sekarang ini orang dah kenal dan mula membeli,” katanya kepada Majoriti.

Pada waktu ini, Muhammad Shuhur yang juga anak kedua daripada empat beradik mempunyai sekitar 50 sarang kelulut di ladang kampungnya di Ipoh.

Menurutnya, kesemua sarangnya dianggarkan boleh memberikan hasil mencecah 20 kilogram (kg) madu kelulut dengan nilai kira-kira RM8,000 khususnya ketika menjelang musim pokok buah-buahan di kampung mengeluarkan bunga.

Dalam pada itu, Muhammad Shuhur berkata, dia kini turut mendapat permintaan yang tinggi di sekitar Lembah Klang.

Perkara tersebut turut memerlukannya untuk menghantar pesanan berkenaan dengan menaiki motosikal dari rumahnya di Ipoh.

Jika dahulu dia menggunakan motosikal Honda Cup C70, kini Muhammad Shuhur sudah beralih kepada motosikal jenis Modenas Kriss untuk menghantar tempahan ke pelanggannya di Lembah Klang.

Katanya, selain kos yang murah, dia membuat pilihan menghantar menggunakan motosikal kerana faktor untuk ketepatan masa.

“Biasa kalau naik kereta, kalau kemalangan sikit jalan akan sesak. Bla berlaku macam itu, memang susah nak sampai ikut waktu.

“Kemudian pelanggan pun bukan ada waktu luang untuk nak tunggu kita. Jadi lagi senang hantar naik motosikal, tak perlu tempuh kesesakan,” ujarnya yang bakal mendirikan rumah tangga pada Disember tahun ini.

Kini, Muhammad Shuhur berkata, dia juga lebih kerap turun ke Lembah Klang, iaitu sekitar tiga kali seminggu untuk menghantar pesanan pelanggan.

Selain madu kelulut, dia turut menawarkan produk lain yang diusahakannya antara lain termasuk lemang dan jus durian belanda.

“Memang penat kalau ulang alik hantar pesanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur. Tapi tip saya satu sahaja. Kalau penat, berhenti sahaja tidur dekat mana-mana,” ujarnya.

Muhammad Shuhur berkata, Modenas Kriss digunakan itu merupakan motosikal terpakai yang pernah dibelikan buat kegunaan arwah ayahnya.

Ujarnya, ketika dibeli, motosikal berkenaan hanya berharga RM200.

Sebaik menamatkan pengajian Sarjana Ekonomi Islam Khusus Kewangan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2017, Muhammad Shuhur berkata, dia sememangnya sudah memutuskan untuk bekerja sendiri di kampung halamannya di Ipoh.

Ujarnya, selain lebih dekat dengan keluarga, keputusan itu juga membolehkannya untuk menerokai minatnya untuk mengajar.

“Saya ada lebih banyak masa luang bersama keluarga. Kemudian saya juga suka mengajar.

“Kalau tengok dalam content saya di Youtube pun saya banyak mengajar macam amalan DIY.

“Sebab saya suka berinteraksi dengan orang tak suka duduk dalam pejabat,” katanya yang kini tinggal bersama ibunya yang juga seorang peguam dan seorang adiknya di Ipoh.

Dalam pada itu, menurut Muhammad Shuhur , penglibatannya dalam penghasilan madu kelulut juga berlaku secara tidak sengaja.

Ini kerana pada waktu itu, keluarganya sedang mencari langkah untuk memastikan kesuburan hasil buah yang ditanam di kawasan kebun mereka.

“Jadi saya pilih kelulut ni asalnya adalah untuk proses pollination atau pendebungaan. Sebab kalau ada pollination hasil buah untuk sesuatu pokok itu akan meningkat.

“Kalau bela lebah, risau ibu bapa saya takut. Jadi saya pilih madu kelulut. Sebab lebah kelulut tak menyengat.

“Alhamdulillah hasil buah meningkat. Malah bukan untuk kebun keluarga saya sahaja.

“Satu kampung saya juga sama bermula dengan satu sarang madu kelulut,” ujarnya yang kini turut popular di TikTok dengan menerusi akaun yang diberi nama CEO Kriss.

Menerusi akaun TikToknya, dia turut berkongsikan aktiviti harian termasuk pengembaraannya di pelbagai lokasi di dalam mahupun luar negara.

Tak kisah pandangan negatif orang ramai

Dalam pada itu, Muhammad Shuhur mengakui pilihannya untuk berniaga sendiri dengan pendapatan yang tidak stabil itu sememangnya menjemput reaksi kurang enak daripada orang ramai.

“Tapi saya pegang satulah. Rezeki ALLAH tu maha luas. Jadi mungkin orang nampak untuk saya ni, saya tak berduit. Tapi ALLAH beri saya masa yang lebih rezeki untuk mengembara.

“Teroka benda lain dan saya tak terikat. Rezeki saya mungkin dari segi itu termasuk dikurniakan kesihatan.

“Yang paling penting, kita tahu apa yang kita nak. Biarlah apa orang nak cakap,” ujarnya yang turut sudah mengembara kira-kira 12 negara termasuk di Asia dan Eropah.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*