Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga… Isteri bergaji besar malu suami kerja sementara jadi pak guard

SUDAHLAH diberhentikan kerja secara tiba-tiba, isteri pula cuba memulaukannya.

Begitulah nasib malang seorang suami yang boleh diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga.

Menurut lelaki itu, dia baru kehilangan kerja dan mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan tetap.

“Saya dah menganggur hampir sebulan. Saya ambil keputusan untuk bekerja sementara dulu, kerja sebagai pengawal keselamatan,” katanya menerusi satu luahan di Facebook.

Dia bagaimanapun tidak menyangka keputusannya mencari rezeki dengan pekerjaan itu mendapat tentangan daripada isteri.

Perkara itu tidak dimaklumkan kepadanya secara bersemuka, tetapi dia dapat melihatnya berdasarkan reaksi dan sikap dingin isterinya.

“Lepas isteri tahu saya kerja guard, dia terus bad mood. Dia tak layan saya, malah cakap pun tak nak.

“Saya tahu dia malu kalau kawan-kawan atau adik-beradik dia tanya suami kerja apa sekarang,” ujarnya.

Bercerita lanjut, lelaki itu menyedari isterinya kini mempunyai kerja yang jauh lebih baik dengan pendapatan bulanan juga lebih tinggi berbanding dirinya.

“Dia kerja hebat, gaji tiga kali ganda besar daripada saya.

“Saya kerja ni pun niat utama saya nak jalankan tanggungjawab saya sebagai suami. Bukan untuk diri saya, tapi untuk diri dia juga,” tambahnya.

Namun jauh di sudut hati, dia mengakui ‘terseksa’ dengan sikap dingin isterinya itu.

“Baru hari pertama balik kerja, dia diam membisu, bila buka topik dia tak layan.

“Penat badan tak hilang lagi, ditambah lagi penat di hati,” luahnya, sebak.

Menerusi ruangan komen, rata-rata warga maya bersimpati dengan nasibnya, malah menghormati usahanya sebagai ketua keluarga untuk terus memberi nafkah setelah diberhentikan kerja.

Pada masa sama, mereka turut menyifatkan isteri kepada lelaki itu tidak bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang bertanggungjawab dan tidak putus asa.

“Bila tiada rasa syukur hilanglah nikmat berumah tangga. Kebahagiaan bukan pada kerja, pangkat atau harta tapi rasa syukur daripada pasangan itu membawa rahmat Allah dalam rumah tangga dan kebahagiaan.

“Sekurang-kurangnya suami tu bekerja secara halal dan bukan biawak hidup. Susah juga jika hanya pandang pada kebendaan.

“Kerja guard rezeki halal. Kalau duduk rumah buat apa? Dapat apa? Gaji guard pun besar sekarang. Isteri harus bersyukur, ini tidak. Moga encik kuatkan semangat,” demikian antara komen warga maya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*