{VIDEO} Pahang negeri terbaharu isytihar GISBH sesat

MUFTI Pahang, Profesor Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim

Pahang mengisytiharkan pengikut Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) adalah menyeleweng dan sesat kerana meneruskan kepercayaan al-Arqam dan mempercayai bahawa Ashaari Muhammad tidak mati.

Keputusan itu dibuat Jabatan Mufti Negeri Pahang melalui mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang dan diperkenankan oleh Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ahmad Shah.

Mufti Pahang Asmadi Mohamed Naim, berkata jawatankuasa itu yang bersidang pada Rabu lalu memutuskan pengikut GISBH sama ada pekerja yang beragama Islam, atau mana mana orang Islam didapati menyeleweng dan sesat.

“Mereka didapati meneruskan kepercayaan dan amalan dalam Aurad Muhammadiah dibawa oleh al-Arqam yang diwartakan sesat dan menyeleweng pada 1994.

Kumpulan ini juga mempercayai bahawa (pengasas al-Arqam) Ashaari Muhammad yang meninggal dunia pada 2010 tidak mati sebaliknya ghaib, katanya dalam satu kenyataan.

Asmadi berkata, sistem ekonomi yang dibangunkan oleh pengikut GISBH juga tidak diiktiraf sebagai ekonomi Islam dan tidak menepati syarak.

Katanya, keputusan itu juga meliputi apa-apa versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran itu dan termasuklah apa-apa pegangan, ideologi, falsafah, atau mana-mana kumpulan yang telah wujud atau akan diwujudkan.

Susulan keputusan itu, katanya, semua pihak berkuasa seperti Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri dan lain-lain agensi digesa berkerjasama bagi merangka dan melaksanakan pemulihan serta pemantauan kepada pengikut GISBH.

Pada Khamis lalu, Jawatankuasa Fatwa Selangor mengisytiharkan pemimpin dan pengikut GISBH serta rangkaiannya masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung dibawa kumpulan al-Arqam yang diisytiharkan sesat.

Menurut Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dimaklumkan hasil mesyuarat jawatankuasa terbabit pada 30 Sept lalu yang membuat pendirian itu dalam memutuskan fatwa berkait ajaran atau amalan GISBH.

Selain Selangor, Jawatankuasa Fatwa Perlis pada 20 Sept lalu mengisytiharkan kepercayaan dalam GISBH sebagai sesat yang memesongkan akidah umat Islam dan meneruskan kesinambungan ajaran al-Arqam.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*