Dakwa diri rasul, ada Roh Kudus, warga Singapura mengaku tak salah

Seorang lelaki Singapura dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan, di sini hari Jumaat atas dua pertuduhan mengajar ajaran salah iaitu dirinya sebagai Rasul dan mempunyai Roh Kudus.

Tertuduh, Idris Ami, 60, yang bekerja sebagai pemandu forklift di Singapura bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapanHakim Syarie, Zulfikri Yasoa.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh yang tidak diwakili peguam didapati telah mengajar ajaran salah kepada dua lelaki berusia 42 tahun dan 46 tahun yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu dengan mendakwa bahawa dirinya adalah utusan yakni Rasul bagi zaman ini.

Manakala, bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didapati telah mengajar ajaran salah kepada dua lelaki yang sama.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11 malam antara 6 hingga 8 Oktober tahun lalu di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua Besar di Kuala Pilah.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, pindaan 2019 di mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwa Syarie Ahmad Wafi Abdullah memohon agar tiada jaminan diberikan kepada tertuduh berikutan tertuduh merupakan warganegara luar serta dibimbangi akan pulang ke negara asal dan akan menyukarkan lagi proses pendakwaan.

Hakim kemudiannya menetapkan bon jaminan keseluruhan sebanyak RM 8,000 dengan empat penjamin warganegara Malaysia yang bermastautin di Negeri Sembilan.

Tertuduh juga tidak dibenarkan keluar dari negara ini sehingga terdapat perintah lain dikeluarkan, selain perlu melaporkan diri setiap 1 haribulan kepada ketua penguasa agama dan kes ditetapkan semula pada 19 November ini bagi perbicaraan.

Dalam pada itu, hakim membebaskan seorang wanita warganegara tempatan berusia 42 tahun yang dipercayai merupakan orang kanan tertuduh dengan bon jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin yang bermastautin di negeri ini.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*