Benarkah kalau saya berkahwin lagi setelah kematian suami dianggap curang?

Benarkah kalau saya berkahwin lagi setelah kematian suami, maka saya dianggap isteri yang curang? Benarkah saya tidak akan jumpa lagi bekas suami di akhirat disebabkan telah berkahwin baharu?

Jawapan: Syarak membenarkan isteri berkahwin baharu selepas kematian suami dan setelah tamat tempoh idahnya. Firman Allah SWT: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu, maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah, 234)

Apabila isteri telah tamat tempoh idahnya, syariat mengharuskan untuk menikahi lelaki lain. Oleh yang demikian, tiada istilah isteri curang dalam perkara ini kerana pernikahan berlandaskan apa yang dihalalkan oleh Allah SWT.

Hal ini dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya bagi menghuraikan ayat di atas: “Apabila selesai idahnya (isteri kematian suami) dihalalkan dia berkahwin dan tiada kesalahan ke atasnya (isteri) pada perkara yang demikian (yang dibenarkan oleh syarak).” (Rujuk: Tafsir al-Qurtubi, 3/187)

Berkenaan dengan berjumpa suami yang lama atau baharu di akhirat kelak ada dinyatakan dalam sebuah hadis bahawa isteri akan diberi pilihan sama ada ingin bersama dengan suami lama atau suami baharu di syurga.

Hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah: “Ada wanita daripada kalangan kami berkahwin dua, tiga dan empat kali. Kemudian, dia (wanita) meninggal dunia serta dimasukkan ke dalam syurga dan yang masuk bersamanya adalah para suaminya. Siapakah (daripada kalangan suaminya) yang akan menjadi suaminya (di dalam syurga)? Maka Nabi SAW bersabda: “Wahai Ummu Salamah, dia (isteri) itu diberi pilihan, maka dia akan memilih yang lebih baik akhlaknya.” (Riwayat al-Thabarani, 3141)

Perkara ini terdapat perbezaan dalam kalangan para ulama. Sebahagiannya berpendapat bahawa isteri akan bersama dengan suaminya yang terakhir ketika di syurga, dan ada yang mengatakan bahawa isteri akan bersama dengan suaminya yang lebih baik akhlaknya ketika di dunia.

Kesimpulannya, isteri tidak dianggap curang terhadap bekas suami yang telah meninggal dunia dengan sebab berkahwin suami baharu.
Ini kerana, Islam membenarkan isteri untuk berkahwin dengan suami baharu setelah tamat tempoh idah, kematian suami selama empat bulan 10 hari bagi isteri yang tidak mengandung.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*