Mereka sangat kejam, sanggup buang ayah dalam sungai – Anak Sabari

“Perbuatan suspek terhadap ayah sangat kejam dan keterlaluan, sanggup dia buang ayah dalam sungai.”

Demikian kata Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25, anak bongsu Sabari Baharom, 62, mangsa pembunuhan kejam ketika ditemui di lokasi pencarian jasad bapanya di Sungai Padang Terap di Wang Tepus, di sini semalam.

Menurut pemuda itu, dia kehilangan kata-kata apabila dimaklumkan polis bahawa bapanya dicampakkan ke dalam sungai tersebut.

“Perbuatan (suspek) kepada ayah sangat keterlaluan kerana ayah orang yang sangat baik. Saya difahamkan ayah juga melayan suspek yang merupakan kontraktor dengan baik,” katanya di sini hari ini.

Cerita Muhammad Amir, suspek yang ditahan berhubung kes itu dipercayai kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembinaan sebuah rumah terletak berhampiran kediaman bapanya di Baling.

“Seorang lagi suspek dipercayai anak saudara kontraktor tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, lelaki tempatan itu dipercayai baru menjalankan kerja-kerja pembinaan di Baling kira-kira lima bulan lalu.

“Dia bukan orang Baling, tetapi hanya datang ke sana untuk projek pembinaan rumah. Memang tidak tahu dia ada niat jahat,” katanya.

Muhammad Amir berharap agar jasad bapanya dijumpai segera.

“Kami juga akan mengadakan solat hajat agar jasad ayah segera ditemui,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan polis Kedah mengesahkan pesara Felcra, Sabari dicampakkan ke dalam Sungai Padang Terap dengan tangan diikat, manakala mulut ditutup dengan menggunakan pita pelekat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dilaporkan berkata, jasad mangsa bagaimanapun masih belum ditemui dengan usaha mencari sedang giat dijalankan di sungai tersebut.

Maklumat itu diperoleh hasil pengakuan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang berjaya ditahan pada Jumaat lalu.

Hasil soal siasat dijalankan, pengakuan telah dibuat oleh kedua-dua suspek tersebut bahawa mangsa iaitu orang hilang (OH) telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra.

Mangsa dicampak dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana membunuh.

Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.

Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari. Proton Waja Sabari ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik.

Seorang wanita warga emas berusia 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*