Ditelan mati emak, diluah mati bapa… Baru jadi guru, bapa minta buat loan beli tanah

Ditelan mati emak, diluah mati bapa… Baru jadi guru, bapa minta buat loan beli tanah.

Ungkapan berkenaan sangat sesuai bagi menggambarkan situasi sedang dilalui oleh wanita ini yang berada dalam dilema selepas diminta membuat pinjaman peribadi oleh bapanya.

Kisah wanita berkenaan dikongsikan oleh rakan baiknya menerusi satu hantaran di Facebook bagi mendapatkan pandangan ramai mengenai situasi yang dihadapi sahabatnya itu.

“Kawan baik saya merupakan seorang guru yang sangat baru. Dia baru bekerja lebih kurang dua setengah tahun. Berasal dari semenanjung dan bekerja di Sarawak.

“Hari ini, dia dihantar mesej oleh ayah dia untuk membuat satu loan dengan amount yang sangat besar bertujuan untuk membeli tanah dan membuat rumah, kemudian disewakan kepada kakak dia sendiri,” tulisnya dalam hantaran berkenaan.

Dalam hantaran itu, dia turut memuat naik imej tangkap layar perbualan antara dirinya dengan rakan baik yang mengadu mengenai situasi dialaminya menerusi aplikasi WhatsApp

Menerusi butiran perbualan tersebut, rakan baiknya meluahkan rasa berbelah bahagi kerana bakal terikat dalam tempoh 35 tahun bagi membuat bayaran semula pinjaman berkenaan.

Selain itu, dia turut meluahkan rasa berat hati kerana tidak mahu timbul isu berbangkit di kemudian hari sehingga mengeruhkan hubungan kekeluargaan.

“Susah kalau sewa dekat adik-beradik ni. Nanti tak bayarlah, apa la. Kalau cakap tak nak, jadi anak derhaka pula.

“Ni nanti sampai mati la hidup berhutang je. Macam mana nak burukkan CCRIS (Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit) ya? Bagi loan supaya tak lepas,” demikian antara mesej yang ditulis dan dihantar rakan baiknya itu.

Tambah individu berkenaan, dia tidak mahu rakan baiknya memperjudikan hidup hanya kerana menurut permintaan bapa dan keluarga.

“Seperti pembacaan saya sebelum ini, tindakan ini boleh dikira sebagai satu tindakan ‘membunuh diri’ apabila membuat personal loan semaksimum mungkin dengan keadaan diri sendiri yang baru memulakan kehidupan.

“Jadi, saya mohon pandangan dan nasihat daripada tuan puan yang lebih arif tentang masalah yang kawan saya hadapi untuk beri kepada dia.

“Saya kesian dengan keadaan dia yang baru bekerja dan terpaksa menanggung hutang yang banyak selain terpaksa menanggung hutang PTPTN sedia ada,” tulisnya.

Perkongsian individu berkenaan mengundang perhatian warga maya yang rata-ratanya tampil memberikan pandangan dan nasihat sebagai solusi kepada situasi rakan baiknya itu.

“Tak perlu burukkan CCRIS. Nanti masa jumpa pegawai bank, berterus-terang… ‘tolong gagalkan loan saya ni’. Tapi jangan beritahu sesiapa.

“Jangan buat loan untuk orang lain. Mak, ayah, adik-beradik atau pasangan. Kena tegas. Mereka hanya nak pergunakan dan lepas ni akan lepas tangan.

“Tak payah layan…derhaka pun derhakalah. Tuhan Maha Mengetahui,” demikian antara komen netizen.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*