Op Globa: Helaian janggut dirampas dari rumah pengurusan tertinggi GISBH

Helaian janggut disimpan dalam bekas khas antara barang dirampas menerusi Op Global fasa empat di sebuah rumah pengurusan tertinggi Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Rawang Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata 455 risalah dan logo berkaitan turut dirampas serta diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Helaian janggut, buku dan risalah ini didapati bertentangan ajaran Islam dan dipercayai mempunyai kaitan dengan tarekat Aurad Muhammadiyah dan kumpulan Al-Arqam yang difatwakan haram pada 1994, katanya menurut Bernama dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung ugutan ke atas Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin dalam aplikasi WhatsApp berkait isu GISBH.

Menurutnya, Asri dilaporkan tidak melayan mesej diterima daripada nombor tidak dikenali pada 8.56 pagi semalam menyatakan perniagaan GISBH tidak dapat ditandingi di Malaysia menyebabkan pengirim menghantar mesej berbentuk provokasi dan ugutan, termasuk perkataan kafir harbi.

Mohd Asri percaya pesanan WhatApps yang diterima menjurus kepada ugutan jenayah kerana maksud kafir harbi (kafir yang boleh diperangi) adalah menghalalkan darah. Susulan itu, mufti berkenaan tampil membuat laporan di Balai Polis Kangar Sabtu lepas untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

Lebih 300 individu, termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan dan 572 mangsa diselamatkan sejak Op Global fasa pertama dilancarkan awal bulan ini, dengan tujuh dihadapkan ke mahkamah atas 29 pertuduhan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*