Budak rumah amal GISBH dapat pendidikan formal Oktober ini – Fadhlina Sidek

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyediakan akses pendidikan kepada sekurang-kurangnya 300 anak pengikut Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) yang kini ditempatkan di rumah perlindungan, bermula 1 Okt ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya akan melaksanakan pendidikan berdasarkan modul khas mengikut kohort pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Melalui fasa pertama ini, modul khas disediakan kerana mereka tidak berada dalam sesi persekolahan biasa dan arus perdana.

Setakat ini kita buat penilaian 3M iaitu membaca, mengira dan menulis selain psikososial..kita sedang melakukan sesi bersama kaunselor KPM, katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPM di Putrajaya hari ini, menurut Berita Harian.

Media sebelum ini melaporkan ratusan kanak-kanak yang terdiri daripada anak pengikut GISBH berjaya diselamatkan polis melalui operasi yang dilaksanakan di beberapa negeri sehingga kini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata menerusi pelaksanaan modul khas itu, pihaknya akan mengadakan penggiliran guru dan juga intervensi yang dilakukan dari masa ke semasa berdasarkan tiga kohort terbabit.

Katanya, inisiatif itu diambil kementerian bagi mengelakkan kanak-kanak terbabit keciciran dan bersedia diserap ke dalam sistem pendidikan kebangsaan.

“Kita ada komitmen yang tinggi untuk memastikan anak ini dapat mengikuti sepenuhnya pendidikan…kita bimbang sekiranya mereka tertinggal sepanjang tempoh siasatan.

Justeru kita mengambil tanggungjawab bagi memastikan pendidikan mereka dapat dijamin…selepas selesai penilaian dan sesi kaunseling, KPM akan mengambil alih dalam aspek pendidikan, katanya.

Mengulas sama ada ibu bapa kanak-kanak itu akan diambil tindakan kerana tidak menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan formal, Fadhlina berkata ia sedang dibincang bersama pasukan undang-undang.

“Kita sudah maklumkan sebelum ini bahawa isu ini sangat serius apabila anak-anak dinafikan persekolahan sedangkan mengikut Akta Pendidikan 1996 dan dasar pendidikan wajib.

Pasukan undang-undang sedang meneliti dan barangkali jika ada tindakan diambil kita akan maklumkan dari masa ke semasa, katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*