Sindiket ‘counter setting’ : SPRM Selangor tahan dalang utama

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman suspek utama yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi ‘laluan kaunter khas’.

Majistret Mohd Sabri Ismail membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 Sept selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi semalam.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dipercayai bersekongkol dengan ejen-ejen sindiket membawa masuk warga asing yang tiba menerusi Terminal Satu dan Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Suspek sebelum ini telah ditahan oleh SPRM Negeri Sembilan pada Rabu lalu dan direman pada Khamis sehingga 23 Sept selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sivil Seremban.

Semalam suspek telah dibawa ke Pejabat SPRM Selangor bagi membantu siasatan kes yang turut disiasat oleh SPRM Selangor, katanya.

Pengarah SPRM Selangor Alias Salim mengesahkan tangkapan terhadap suspek berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pada 18 Sept lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata seorang pegawai kanan Imigresen yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket akan didakwa bulan depan.

Menurutnya, suspek yang telah bertugas 20 tahun dalam pasukan penguat kuasa itu dikatakan menjadi dalang dengan mengawal 50 pegawai lain untuk menjalankan operasi sindiket.

Awal bulan ini, SPRM membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal, melalui pintu masuk negara menggunakan operasi ‘buka kaunter’ (counter setting).

Sebanyak RM1 juta disita dalam ketiga-tiga operasi khas dijalankan SPRM sejak bulan Ogos lalu, termasuk 22 kenderaan dan juga 27 keping dinar emas dengan anggaran nilai lebih RM200,000.

Selain itu, lebih 75 utas barang kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket, subang, serta lebih 12 jam tangan, lebih 30 telefon pintar pelbagai jenama dan komputer riba.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*