Isteri kedua CEO GISBH antara ‘diangkut’ polis

Puluhan buku berkaitan ajaran dan doktrin disyaki diperjuangkan GISBH ditanam di tepi sungai berhampiran kediaman pengikut di Kampung Panji, Kota Bharu.

Dianggarkan lebih 30 individu termasuk isteri kedua kepada CEO Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), warga emas, bayi dan kanak-kanak diperiksa dalam serbuan di kediaman mereka melalui Op Global di Kampung Panji, Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Individu berusia enam bulan hingga 70-an itu antara ditemui dalam tiga rumah yang menjadi penempatan mereka.

Mereka kemudian dibawa menaiki tiga van polis dan sebuah van Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke pusat saringan kira-kira 9.30 pagi selepas operasi selesai, lapor Berita Harian.

Sementara itu, puluhan buku berkaitan ajaran dan doktrin disyaki diperjuangkan GISBH dikesan ditanam di tepi sungai berhampiran kediaman pengikut kumpulan tersebut di kampung berkenaan.

Buku itu dipercayai ditanam selepas polis menahan CEO GISBH, kelmarin.

Malah, sebahagian besar buku dilihat sudah dibakar, manakala naskhah yang lebih tebal dan besar pula ditanam, disyaki bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Op Global bermula 6.30 pagi tadi turut disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).

Media baru-baru ini melaporkan beberapa pemimpin GISBH, termasuk CEO dan isteri, antara ditahan dalam Op Global sebelum ini untuk membantu siasatan kes rumah amal kendalian syarikat itu disyaki melakukan penderaan, pengabaian serta salah laku seksual.

Semalam, dilaporkan Jawatankuasa Fatwa Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat, khususnya batiniah.

Ia sekali gus menjadikan Perlis negeri pertama mengisytiharkan organisasi itu sebagai kumpulan ajaran sesat.

Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, dipetik berkata fatwa itu dikeluarkan selepas menerima bukti meyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi berkenaan sesat.

Rurut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*